Pesan pelajar Aswara kepada majlis agama Terengganu


GAGAL kerana menjurus kepada hiburan dan melalaikan.” Itulah sebab yang dikemukakan kepada @tnsajidahh, seorang bakal siswazah baru ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) apabila mendapat jawapan untuk permohonan bantuan awal pelajaran ke IPT melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Tweet bakal siswazah yang akan berkecimpung dalam jurusan Filem dan Video (Sinematografi) tersebut tular di Twitter pada 1 Oktober lalu mendapat dikongsi oleh lebih daripada 1,000 pengguna Twitter dan mendapat respons yang pelbagai dari warganet.

Apabila disemak di laman rasmi MAIDAM, memang terdapat syarat yang menyatakan bahawa bantuan pelajaran agensi itu “tidak melibatkan bidang pengajian yang berkaitan hiburan yang melalaikan.”

Saya fikir satu persepsi buruk apabila mengaitkan bidang perfileman dengan “melalaikan”. Saya tersentak dan agak terkejut dengan respons yang diberi di ruangan ‘sebab’ tersebut, yang memberi konotasi negatif terhadap bidang ini.

Filem adalah medium paling popular dalam kesenian. Mahu atau tidak, kita kena raikan fakta ini.

Masyarakat Malaysia bukannya buta filem malahan menyambut baik penerbitan filem-filem dalam negeri bahkan antarabangsa. Filem menjadi satu terapi para masyarakat moden kini. Dari kanak-kanak sehinggalah orang dewasa, semuanya menonton filem mengikut cita rasa masing-masing.

Apabila satu-satu filem yang bertaraf antarabangsa ditayangkan atau filem yang dibintangi oleh pelakon terkenal, berduyun-duyun masyarakat mahu menonton untuk menghiburkan diri. Tidak kurang para pengkritik dan pengulas ada berceloteh mengenai filem di media sosial sama ada dalam bentuk tulisan dan vlog.

Di peringkat yang lebih tinggi pula, pada Mei 2020 pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Zakaria Abdul Hamid mengimpikan filem Malaysia dapat dicalonkan untuk Oscar, dan dalam industri muzik, mungkin kita dapat melangkah sehingga menjulang piala Grammy.

Beliau sangat optimis dengan idea ini sehinggakan kebetulan pada hari sama tularnya ciapan siswazah tersebut, satu program khusus untuk menjayakan matlamat ini diadakan di Finas. Finas mengadakan perbincangan dua hala bersama Persatuan Aspirasi Oscar Malaysia (ASPIRASI) mengenai idea ini.

Dengan kata lain, Finas bersungguh-sungguh untuk mengangkat filem Malaysia dapat berada sebaris dengan filem-filem bermutu di luar sana. 

Misi ‘Road to Oscar’ bagi saya bukanlah satu idea yang hanya mahu menghabiskan masa dan duit. Kita pernah hampir melangkah ke Oscar; lihat saja Puteri Gunung Ledang (2005) dan Bunohan (2012) pernah diangkat untuk dicalonkan ke dalam anugerah filem paling berprestij ini. Dua filem ini tidak dinafikan kehebatannya sehinggakan Bunohan memenangi anugerah di Festival Filem Antarabangsa Toronto.

Ada banyak filem Malaysia lagi yang bertaraf antarabangsa dan ‘untuk festival’. Saya tidak dapat senaraikan di sini kerana kekangan ruang. Kita tidak dapat nafikan wujudnya sutradara yang hebat di Malaysia ini.

Baik, saya mahu tanyakan satu soalan di sini; jika tiada didikan formal yang baik, bagaimana kita mahu membentuk dan mengimpikan piala di pentas Oscar?

Nah! Akademi seni seperti ASWARA atau mana-mana IPT yang menawarkan kursus perfileman inilah yang akan menggilap bakat anak-anak Malaysia ke persada dunia. 

Seperti yang saya kata di atas tadi filem adalah medium yang paling popular – dengan populariti inilah kita dapat mengangkat nama Malaysia untuk dikenali oleh Barat, “kita pun mampu ada filem yang bagus!”

Di ASWARA, kami diajar bukan untuk berhibur bergelek dan berlakon di pentas semata-mata, tetapi kami diajar dengan penuh hikmah dan teratur dalam semua bidang seni.

Kami diajar mengikut silibus yang tertentu bagi membolehkan para pelajar menguasai bidang masing-masing. Semua bidang mempunyai metodologi yang tertentu, bukannya kami di sini hanya berpesta sakan dan ‘cucuk langit’.

Seperti sahabat kita yang tular di atas, kursus sinematografi yang bakal dia ceburi tersebut bagaimana dapat diasosiasikan dengan frasa ‘melalaikan’?

Ada dalam kalangan kita yang memberi persepsi buruk kerana namanya ‘ASWARA’, hanya tempat berlakon, menari dan berhibur. Cubalah datang bertemu kami dan lihatlah apa yang kami pelajari. Berpenat lelah kami belajar untuk mengasah bakat supaya boleh tunjukkan di mata masyarakat Malaysia kita akan membuat satu perkara yang akan membanggakan negara melalui medium seni.

Di peringkat negeri, seperti MAIDAM, saya sangat kesal dengan konotasi ‘melalaikan’ tersebut. MAIDAM perlu kembali menyemak takrif ‘bidang pengajian yang melalaikan’ pada terma dan syarat yang mereka tetapkan.

Saya rasa di mana-mana IPT pun mereka menawarkan bidang pengajian untuk mengajar sesuatu yang baik kepada pelajar. Tiada IPT yang menawarkan ‘bidang pengajian’ yang melalaikan. Pengajian tersebut adalah ilmu, dan dengan ilmu itulah kita bawa diri kita ke arah mana.

Sarjana dan ahli falsafah terkemuka Malaysia, Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam bukunya Risalah Untuk Kaum Muslimin menyatakan bahawa ilmu pengetahuan itu sebenarnya tidak bersifat neutral, tetapi ia bergantung pada kebudayaan masing-masing. Nah, masa inilah kita mahu menilai ilmu yang diberi di institusi pengajian seni ini dapat memberi kesan positif kepada masyarakat dan negara.

Berapa ramai antara kami yang mengimpikan kita akan dapat membuat satu filem yang baik, yang bagus, bermutu dan tidak dipandang jelek oleh warga luar. Finas pun ada agenda dan sasaran mereka untuk Oscar.

Tetapi agensi seperti MAIDAM ini mengakibatkan anak muda yang sedang bertungkus lumus untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa akan berkecai.

Saya tidak kisah langsung jika bakal siswazah itu ditolak permohonan bantuannya kerana tidak cukup syarat, tetapi kekesalan saya disebabkan ASWARA dengan ‘melalaikan’ itu dihujahkan oleh satu badan atau agensi seperti MAIDAM.

Ada seorang pengarah filem di Malaysia yang membikin filem bukan untuk rakyat Malaysia dan sasarannya untuk festival luar negara. Saya tidak bertanyakan terus puncanya kepada pengarah tersebut, tetapi saya beranggapan kerana Malaysia masih tidak dapat menerima industri seni ini sebagai satu wadah perjuangan demi bangsa dan negara.

Akhir kalam, untuk MAIDAM, jangan tonton filem! Melalaikan! – 19 Oktober, 2020.


* Naim Al-Kalantani ialah seorang penuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang Penulisan Kreatif dan Filem di peringkat ijazah sarjana muda.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen