Katil, peralatan mencukupi untuk hadapi lonjakan kes Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Kementerian Kesihatan mempunyai kapasiti yang cukup untuk berdepan dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

KETIKA kes Covid-19 mencecah angka tiga digit sejak kebelakangan ini, Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan Kementerian Kesihatan mempunyai kapasiti untuk menangani gelombang ketiga pandemik.

Ketua pengarah kesihatan itu memberitahu The Malaysian Insight kadar penggunaan katil hospital pada masa ini kerana kes Covid-19 adalah sekitar 40%.

Terdapat 3,446 katil hospital, 878 katil unit rawatan rapi (ICU) dan 1,515 alat bantuan pernafasan disediakan untuk kes Covid-19 di negeri seluruh negara, kecuali Sabah.

Untuk Sabah, 57% daripada 110 katil ICU dan 71% dari 1,018 katil hospital telah digunakan pada 13 Oktober.

Kementerian juga telah memperuntukkan 4,161 katil di pusat kuarantin berisiko rendah, di mana 32% telah dihuni.

Noor Hisham berkata, sebanyak 180 alat bantuan pernafasan juga telah diperuntukkan untuk rawatan Covid-19 di negeri ini, sambil menambah bahawa terdapat kapasiti mencukupi pada masa ini.

Pada Selasa, kita merekodkan jumlah kes discaj paling tinggi iairu 350, dan kebanyakannya adalah dari Sabah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kementerian juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan kes di Sabah dan bersedia untuk menghadapi peningkatan kes. 

“Kita sudah mula bersedia beberapa minggu sebelum pilihan raya negeri Sabah,” kata Noor Hisham merujuk kepada peningkatan kes yang berlaku selepas piihan raya negeri Sabah pada 26 September. 

Katanya kementerian turut memantau secara dekat situasi di negeri-negeri panas penularan virus berkenaan. 

“Sebagaimana yang saya katakan sebeum ini, kita lebih bersedia berbanding pada Mac tetapi gelombang ketiga sangat mencabar kerana kita berdepan dengan protein virus yang bermutasi yang lebuh mudah berjangkit,” tambahnya. 

Semalam, Sabah merekodkan 429 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif di negeri itu lebih 3,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata gelombang ketiga pandemik Covid-19 lebih mencabar berbanding sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020. 

Kebimbangan terhadap petugas kesihatan

Sementara itu, ahli epidemiologi Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud menyatakan kebimbangan terhadap kemampuan pihak berkuasa kesihatan menangani peningkkatan kes di Sabah yang masih belum menunjukkan sebarang penurunan. 

“Dengan leih 3,000 kes aktif di Sabah, sekiranya peningkatan kes ini tidak menurun dan tiada kemudahan yang mencukupi, mereka pasti akan terkesan dalam beberapa minggu. 

“Hanya negeri Sarawak yang terdekat dengan Sabah namun ia agak jauh untuk memindahkan pesakit ke sana,” katanya. 

Beliau menyatakan kebimbangan dengan kemampuan pihak berkuasa kesihatan Sabah untuk menangani jumlah kes baru kerana katil khusus untuk Covid-19 dan katil ICU sedang dipenuhi.

Tambahnya, menambah alat bantuan pernafasan sahaja tidak memadai kerana setiap katil di ICU memerlukan empat jururawat dan banyak peralatan.

“Kecuali penularan komuniti semakin berkurangan, ini akan berlaku dalam beberapa minggu,” katanya.

Awang Bulgiba berkata perjuangan sebenar adalah untuk menghalang penularan komuniti. 

“Untuk Sabah sekarang, lebih banyak petugas mesti dihantar untuk membantu mereka menghentikan penularan komuniti kerana ini akan menjadi kunci untuk menghentikan wabak itu.

Petugas kesihatan berdepan risiko lebih tinggi terutamanya dengan lonjakan kes jangkitan pandemik Covid-19 pada gelombang ketiga. – Gambar fail The Malaysian Insight,15 Oktober, 2020.

“Jadi tiada apa selain pengesanan kontak secara agresif, ujian saringan dan kuarantin yang diperlukan sekarang,” katanya.

Awang Bulgiba berkata sudah ada penularan komuniti yang meluas di Sabah, yang mungkin berpunca dari negara-negara jiran.

Ini katanya, diburukkan lagi oleh ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pilihan raya negeri bulan lalu. 

“Penjujukan genom yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan pada beberapa sampel virus menunjukkan hal ini terjadi. Sebilangan besar jangkitan ini mungkin mempunyai gejala ringan atau tidak bergejala,” katanya.

Awang Bulgiba juga meminta sistem pangkalan data masa nyata berpusat untuk Covid-19.

“Saya telah lama menganjurkan sistem pengawasan yang menggunakan semua klinik kementerian yang memiliki akses Internet dengan data yang dianalisis secara masa nyata oleh CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis) 

“Pangkalan data dapat menggunakan sistem E-Covid yang telah diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata sistem ini akan mengambil corak luar biasa penyakit berkaitan pernafasan di klinik-klinik ini.

“Ujian dan pengasingan yang disasarkan kemudian dapat dilakukan di daerah-daerah yang menunjukkan pola yang luar biasa sehingga penularan komuniti dapat dihentikan pada tahap awal.

“Sudah agak terlambat untuk meletakkan sistem itu untuk Sabah sekarang tetapi saya harap ini dapat dilakukan untuk seluruh negara,” tambah Awang Bulgiba. – 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen