Ku Li dedah ditawar jawatan penasihat Petronas


Muhyiddin Yassin tawar saya jawatan penasihat Petronas, tetapi saya tolak, kata Tengku Razaleigh Tengku Hamzah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.

TENGKU Razaleigh Hamzah mendedahkan beliau ditawar jawatan penasihat Petronas oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tetapi menolaknya demi mahu mempertahankan kebebasan dan integritinya sebagai ahli Parlimen.

Dalam sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dua minggu lalu, Ahli Parlimen Gua Musang berkata beliau menolak tawaran jawatan itu kerana melihatnya sebagai satu sogokan politik.

“Penyogokan politik menyebabkan demokrasi berpelembagaan kita menghadapi cabaran serius. 

“Saya bimbang dan khuatir sama ada demokrasi berpelembagaan kita mengalami penyogokan politik ini dengan cara tersembunyi,” katanya dalam surat bertarikh 29 September lalu.

Surat itu dikeluarkan kepada media hari ini oleh pejabat Tengku Razaleigh.

Muhyiddin yang mengetuai kerajaan baharu Perikatan Nasional sebelum ini dituduh oleh pelbagai pihak cuba mengukuhkan sokongan kepadanya dengan menabur jawatan kepada ahli politik dalam pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut Tengku Razaleigh, beliau menolak tawaran jawatan penasihat Petronas kerana Perkara 48(1)(c) melarang seseorang ahli Parlimen memegang jawatan berpendapatan.

“Bahagian kecil (sub seksyen) ini bertujuan mencegah Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada menyokong atau pun mengundi demi menyokong kerajaan bagi maksud ‘penyogokan politik’,” katanya.

Semua ahli Parlimen juga, tambah beliau, patut faham mengenai penyogokan politik demi mempertahan dan mendukung Perlembagaan serta integriti Dewan Rakyat.

Menurut Tengku Razaleigh, beliau menolak tawaran jawatan penasihat Petronas kerana Perkara 48(1)(c) melarang seseorang ahli Parlimen memegang jawatan berpendapatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.

Tengku Razaleigh, 83, adalah pengasas Petronas yang ditubuhkan pada 1974. Beliau merupakan pengerusi dan ketua pegawai eksekutifnya yang pertama.

Tengku Razaleigh kini merupakan ahli Parlimen yang paling lama memegang jawatan, terpilih sebagai wakil rakyat selama 11 penggal sejak 1974. Beliau juga sekarang mempengerusikan Jemaah Penasihat Umno

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas percaturan politik yang menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) seminggu sebelumnya.

Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari PH pada 24 Februari, manakala beberapa ahli Parlimen PKR juga dipecat atau keluar parti serta menarik sokongan kepada kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya umum ke-14.

Pada hari sama, Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan perdana menteri, sekaligus menyebabkan kabinetnya terbubar.

Selepas keadaan politik yang tidak menentu selama hampir seminggu, Bersatu bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional serta PAS, serta mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak dan beberapa ahli Parlimen bebas.

Pentadbiran baharu itu bagaimanapun dikecam sebagai kerajaan pintu belakang, manakala keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri terus dipertikai.

Dalam suratnya, Tengku Razaleigh meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memberi keutamaan kepada usul tidak percaya terhadap perdana menteri untuk diputuskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat pada sidang akan datang.

Usul itu dikemukakan oleh Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, pada Mei lalu tetapi belum juga didengar walaupun Dewan Rakyat sudah dua kali bersidang.

Azhar dalam surat balasannya kepada Tengku Razaleigh berkata beliau terikat dengan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang menetapkan urusan kerajaan perlu didahulukan berbanding usul persendirian.

Surat dua minggu itu, dan balasan Azhar, didedahkan kepada umum sehari selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau kini ada sokongan 120 ahli Parlimen untuk membentuk sebuah kerajaan baharu menggantikan kerajaan Muhyiddin. – 14 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen