Perniagaan di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur dibenar beroperasi 6 pagi hingga 10 malam 


Aminah Farid

Aktiviti ekonomi, perniagaan dan industri dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh dua minggu PKPB namun perlu patuhi SOP yang ditetapkan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Oktober, 2020.

AKTIVITI ekonomi, perniagaan dan industri dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, kata Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, menteri kanan keselamatan itu berkata waktu beroperasi akan dihadkan dari pukul 6 pagi hingga 10 malam ketika PKPB yang akan berkuatkuasa tengah malam ini.

Katanya perniagaan ini juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Putrajaya.

Beliau berkata makan di restoran dibenarkan namun ia terhad kepada dua orang untuk satu meja.

“Namun lebih baik memilih penghantaran, take away atau pandu lalu ketika tempoh ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Restoran, trak makanan, gerai penjaja, medan selera, kiosk, gerai tepi jalan, kedai serbaneka dan runcit juga dibenar beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam.

Ismail berkata hanya dua individu dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain.

Individu berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan berada di tempat umum, terutamanya di kawasan sesak, katanya.

Pasar borong, pasar malam dan pasar basah dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 4 petang.

SOP itu dikeluarkan selepas pengumuman kerajaan akan mengenakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa tengah malam ini berikutan peningkatan kes Covid-19. 

Ismail berkata pergerakan rentas daerah dan negeri hanya dibenarkan untuk tujuan kerja dan kecemasan. 

Bagaimanapun orang awam perlu mendapat kebenaran polis sebelum berbuat demikian. 

“Pekerja dibenarkan merentas daerah dan negeri dengan syarat mereka mempunyai pas pekerja atau surat kebenaran yang sah dari majikan.

“Bagi pekerja dari daerah yang sama, mereka tidak perlu mengemukakan surat majikan atau pas pekerja,” katanya. – 13 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen