AirAsia dapat pinjaman RM1 bilion, lapor media


Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Berhad kini bergelut mengharungi kesan penularan pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

PUTRAJAYA meluluskan bantuan pinjaman RM1 bilion kepada AirAsia Berhad, lapor Nikkei Asia, ketika syarikat penerbangan tambang murah itu kini bergelut mengharungi kesan penularan pandemik Covid-19.

Pinjaman itu akan dikeluarkan oleh konsortium bank tempatan di bawah pakej rangsangan ekonomi kerajaan Prihatin, kata laporan itu.

Pinjaman itu dijamin sebanyak 80% oleh Kementerian Kewangan dan dijangka dikeluarkan bulan depan, menurut sumber kerajaan dan syarikat yang dipetik oleh laporan itu.

“Pinjaman RM1 bilion ini dianggap sangat penting bagi AirAsia, yang akan digunakan untuk pembayaran semula pinjaman jangka pendek dan dana modal kerja,” lapor Nikkei, memetik sumber.

Pada Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes memberitahu Nikkei syarikat itu memerlukan dana RM2 bilion dalam enam bulan akan datang untuk berada dalam keadaan “selesa”.

AirAsia dan sayap penerbangan jarak jauhnya AirAsia X Berhad minggu lalu mengesahkan pemberhentian 10% daripada 24,000 kakitangannya.

Ini adalah pemberhentian kerja pusingan kedua syarikat penerbangan tambang murah ini. Pada awal Jun, ia mengurangkan lebih 250 pekerjanya bagi mengurangkan kesan ekonomi daripada penularan pandemik.

Menurut Fernandes, pemberhentian pekerja itu terpaksa dilakukan berikutan realiti sektor penerbangan yang sukar pulih dalam masa terdekat ini.

Pada masa sama syarikat penerbangan itu juga sedang berusaha melepaskan pesawat kepada pemajak, selain berunding dengan Airbus untuk mengurangkan beberapa pesawat yang dipesan sebelum ini.

Pada Ogos tahun lalu, AirAsia memeterai perjanjian dengan Airbus untuk membeli 42 buat pesawat, yang keseluruhannya berjumlah lebih AS$5 bilion (RM20 bilion). – 13 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen