Rancangan kurangkan plastik, naikkan kitar semula dalam RMK12


Hailey Chung Wee Kye

Malaysia merekodkan penggunaan plastik per kapita tahunan tertinggi, tetapi masih perlu mengimport sisa plastik dari luar untuk digunakan di kilang kitar semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2020.

INDUSTRI plastik Malaysia mempunyai fasiliti canggih untuk kitar semula tetapi kadar kitar semula negara ini jauh lebih rendah berbanding negara jiran di rantau ini, kata Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia.

Negara juga merekodkan penggunaan plastik per kapita tahunan tertinggi, tetapi masih perlu mengimport sisa plastik dari luar untuk digunakan di kilang kitar semula.

Situasi tidak seimbang ini dalam perhatian dan ingin dibetulkan melalui skim Tanggungjawab Lanjutan Pengeluar (EPR), yang memastikan pengeluar produk berkongsi tanggungjawab mengurangkan sisa plastik dan pempakejan dan pada masa sama meningkatkan kadar kutipan sisa dan kitar semula plastik.

Kandungan skim itu akan diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 akan datang, kata WWF Malaysia yang sudah mencadangkan EPR kepada Putrajaya.

Antara matlamat yang ingin dicapai skim EPR adalah pengurangan sisa pada tahap pengeluaran dan pempakejan, serta meningkatkan kadar kitar semula plastik Malaysia yang berdasarkan kajian WWF Malaysia hanya berada sekitar 20% sekarang.

WWF Malaysia aktif mempromosi konsep EPR dan baru-baru ini mengeluarkan laporan “Study on EPR Scheme Assessment for Packaging Waste in Malaysia” bagi menggalakkan industri menggunakan pendekatan EPR dalam proses perniagaan mereka.

Di bawah skim ini, syarikat dihendaki membayar sejumlah yuran apabila memperkenalkan produk baharu ke dalam pasaran. Bayaran itu bergantung kepada jenis dan jumlah bahan pempakejan yang digunakan.

“Yuran EPR yang dikutip akan menanggung kos keseluruhan spektrum pengurusan sisa bermula daripada kutipan, pengasingan dan kitar semula serta usaha membentuk kesedaran kitar semula plastik dalam kalangan pengguna,” kata WWF Malaysia kepada The Malaysian Insight.

“Model EPR mengalihkan tanggungjawab kewangan kitar semula kepada pihak berkepentingan (termasuklah industri).”

Skim EPR itu akan diuruskan oleh sebuah badan bukan keuntungan digelar Packaging Recycling Organisation (PRO) Malaysia, yang sedang ditubuhkan oleh 10 syarikat barangan pengguna.

Fungsi PRO adalah sebagai pengendali pengurusan yuran EPR, berhubungan dengan syarikat dan mengeluarkan kontrak kepada pengendali pengurusan sisa dan majlis kerajaan tempatan, kata WWF Malaysia.

Salah satu contoh usaha yang boleh dikembangkan EPR adalah keputusan Nestle untuk hanya menggunakan straw kertas dalam semua produk UHTnya.

“Kami akan melaksana pengunaan 100% straw kertas dalam semua produk UHT Neste menjelang akhir 2020, yang akan menghapuskan 200 juta straw plastik setiap tahun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Bhd Juan Aranols kepada The Malaysian Insight.

Matlamat Nestle adalah mencapai 100% pempakejan boleh kitar atau guna semula menjelang 2025.

Syarikat antarabangsa pemprosesan makanan dan minuman berpangkalan di Switzerland itu adalah salah satu syarikat pengasas PRO di Malaysia juga merancang meletakkan pendidikan kesedaran kitar semula di pakej produknya kepada pengguna.

“Model ini membantu menaikkan kadar kitar semula dengan menyediakan insentif mencukupi untuk terlibat dalam sistem dan pada masa sama meluaskan skala keberkesanan untuk mengurangkan kos keseluruhan kitar semula,” kata Aranols mengenai skim EPR. – 11 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen