Musang King mula mendapat tempat di Melbourne


Adam Ng, ketua eksekutif dan pengarah penganjur Duria Ausrtalia. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Disember, 2017.

BAGI rakyat Malaysia yang mengidam untuk merasai durian dan warga Australia yang tidak sabar untuk  mencuba raja buah itu, jangan bimbang. Peluang itu akan anda perolehi di “festival Musang King” di tepi pantai di Docklands.

Ya, betul - bufet durian di Melbourne.

Tiket bagi dua daripada empat sesi telah habis dijual. Begitu juga hampir semua tiket bagi satu daripada tiga sesi. Setiap sesi hanya terdapat 200 tiket. Bermakna hampir 600 orang akan mendapat sebiji durian dari gred terbaik di Malaysia.

Ini menggembirakan Adam Ng, ketua eksekutif dan pengarah penganjur Duria Ausrtalia - pengkalan terbaharu dan ketiga bagi syarikat Malaysia yang ditubuhkan di Kamunting, Taiping.

Duria Australia mengangkut 2,400kg durian melalui udara. Durian-durian ini bernilai A$67,200 (RM208,100) pada harga pasaran.

“Kami ada beberapa baki tiket untuk sesi kedua pada Sabtu (8-9.30 malam),” kata Ng kepada The Malaysian Insight, ” dan sesi ketiga (8-9.30 malam) pada Ahad.

Bukan sahaja tetamu dapat merasai durian Musang King dan D24, malah mereka berpeluang mencuba pelbagai hidangan berasaskan durian. Ini termasuk gelato, mochis dan kuih-muih dari lempeng serta popia, juga ais kepal.

Berusia 35 tahun, Ng merupakan tulang belakang dalam usaha untuk mengubah persepsi masyarakat di Australia yang sensitif terhadap bau durian. Musang King keluaran Duria buat masa ini cukup terkenal di Hong Kong dan China.

“Saya mahu mempromosikan Malaysia dan makanan serta budayanya melalui durian,” kata Ng yang merupakan graduan pegurusan perhotelan dari Victoria University di Melbourne.

Bagi Ng, bufet durian ini hanya satu permulaan. 

Ketika menubuhkan Duria Australia pada September lalu, Ng telah “memperkenalkan bau busuk” durian kepada masyarakat kelas atasan melalui gerai di Crown Casino, majlis minum petang dan pemasaran agresif di pasar-pasar di pinggir bandar yang sering dikunjungi orang Malaysia dan Asia.

Matlamat Ng ialah untuk memperluaskan pasaran durian dan dia percaya, produk-produk berasaskan durian seperti gelato juga dapat mengubah deria rasa orang Barat kepada buah eksotik itu. – 15 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen