Putrajaya tidak patut henti bayar geran khas kepada Sabah, kata peguam


Jason Santos

Putrajaya didapati gagal membayar kepada Sabah sebanyak 40% daripada hasil pendapatan tahunannya sejak 1974 walaupun diwajibkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2017.

PUTRAJAYA gagal membayar Sabah sebanyak 40% daripada hasil pendapatan tahunannya sejak 1974 walaupun ia diwajibkan di bawah Perlembagaan persekutuan, kata penasihat undang-undang MySabah, Tengku Fuad Ahmad.

Pemberian khas daripada kerajaan persekutuan berdasarkan hasil tahunan negeri, juga wajib di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tetapi selepas 1973, kerajaan persekutuan gagal menjalankan semakan semula pemberian seperti yang diperlukan setiap lima tahun di bawah MA63 dan Perkara 112D Perlembagaan persekutuan.

Ini adalah penemuan pasukan MySabah, yang dibentuk oleh pemimpin Umno Sabah yang juga Menteri Luar Anifah Aman, ketika melakukan penyelidikan di London pada Mei dan Oktober tahun lepas sebagai sebahagian daripada usaha negeri untuk menentukan haknya ketika bersetuju membentuk Malaysia bersama Sarawak, Tanah Melayu dan Singapura pada 1963.

Isu hak dan autonomi Sabah dan Sarawak semakin mendapat perhatian beberapa tahun kebelakangan ini ketika para politisi dan aktivis akar umbi di sana menuntut status setara kedua-dua negeri dengan Semenanjung Malaysia serta pengiktirafan sebagai entiti berdaulat apabila ia membentuk Malaysia.

Peguam Fuad memberitahu The Malaysian Insight yang hak peruntukan Sabah bermula dengan RM20 juta pada 1969. Geran dibayar setiap tahun selepas itu dan yang terakhir diterima ialah RM26.7 juta pada 1973.

Selepas itu, kerajaan persekutuan tidak melakukan semakan semula.

“Satu-satunya sebab yang diberikan oleh kerajaan persekutuan pada 1974 ialah ‘Kedudukan kewangan Persekutuan tidak mengizinkan untuk menjalankan semakan semula’,” katanya.

“Di bawah Perkara 112D, adalah wajib bagi 40% hak hasil pendapatan disemak semula setiap lima tahun, tetapi tidak pernah terjadi pada 1974.

“Perkara 112D memperuntukkan rundingan di antara kerajaan dengan negeri bagi tujuan mendapatkan persetujuan berapa kelayakan Sabah untuk mendapat geran khas seperti yang ditetapkan dalam Bahagian IV Jadual Kesepuluh - hak hasil pendapatan 40%,” katanya.

Fuad berkata, pada 1974 mungkin sukar bagi jawatankuasa yang bertanggungjawab ke atas semakan itu susulan kematian mantan perdana menteri Dr Ismail Abdul Rahman yang mengetuai jawatankuasa itu.

Bagaimanapun, Fuad berkata tidak ada sebab kukuh mengapa semakan itu dilupakan kerana ia dimandatkan secara sah.

“Hanya melalui semakan semula, wakil dari Sabah dan kerajaan persekutuan memutuskan sama ada terdapat keperluan semakan semula geran khas,” katanya.

Menurut Fuad, geran khas itu boleh “diubahsuai, diganti, diubah atau dimansuhkan” dengan persetujuan daripada Sabah dan kerajaan persekutuan.

Fuad melahirkan rasa terkejut semakan tidak berlaku kerana klausa perkongsian 40% hasil pendapatan merupakan bahagian penting daripada keputusan Sabah untuk membentuk Malaysia.

“Ia adalah faktor rundingan utama, tanpanya Borneo Utara (Sabah) mungkin tidak bersetuju untuk membentuk Malaysia,” katanya.

Berdasarkan maklumat terbaru di London, Fuad berkata hasil pendapatan 40% adalah faktor utama bagi Sabah untuk bersetuju bersama-sama membentuk Malaysia semasa fasa rundingan.

Beliau berkata sehingga akhir Mac 1963, Sabah masih tidak yakin sama ada Malaysia boleh menjadi kenyataan kerana pembahagian sumber-sumbernya, kata beliau.

“Teleks menunjukkan timbalan perdana menteri Abdul Razak Hussein pada masa itu bertanggungjawab dalam perjanjian dengan Sabah (di bawah pimpinan ketua menteri ketika itu,  Donald Stephens). – 15 Disember, 2017.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen