Runding sebelum buat keputusan baharu, kata siswa


Zaim Ibrahim

Ribuan pelajar IPT yang kembali ke kampus terkandas susulan pengumuman KPT mengenai penangguhan pendaftaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2020.

PERTUBUHAN perwakilan pelajar mendesak agar dilibatkan sebelum kerajaan membuat keputusan penting melibatkan kebajikan mereka memandangkan kes Covid-19 kembali meningkat.

Mereka tidak mahu masalah seperti pengumuman saat akhir kementerian mengenai pendaftaran semester baharu terus berulang dan menyusahkan para pelajar.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, wakil siswa perlu dilibatkan sebelum kementerian mengubah ketetapan atau membuat pengumuman baharu yang menjejaskan kebajikan pelajar.

Antaranya, Belia Harmoni Malaysia yang turut menuntut kerajaan menjamin pelajar mendapat keperluan asas termasuk makan minum dan pengangkutan untuk tempoh ini.

Presidennya Usaid Asmadi menjelaskan, ini kerana rakan-rakan mereka di Universiti Malaya bimbang sekiranya kafe tidak dibuka memandangkan ramai sudah tiba di kolej kediaman.

“Pertama kita tak jelas antara KPT dengan univerisiti, siapa akan bertanggungjawab kepada pelajar? Daripada segi makan dan minum, kami tidak tahu lagi tutup ke bagaimana.

“Begitu juga dengan pengangkutan, kalau pengajian secara bersemuka diteruskan, adakah bas disediakan atau perlu guna pengangkutan sendiri?

“Saya belum dapat kemaskini daripada mana-mana pihak. Itu harapan saya, perhatikan kebajikan dan ambil tindakan,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Beliau kecewa kerana Menteri Pendidikan Tinggi Noraini Ahmad tidak menjelaskan jika pelajar boleh terus tinggal di kampus dan untuk tempoh berapa lama.

“Andai kata sehingga hujung tahun tidak boleh masuk ke universiti, bagaimana pengajian kami akan diuruskan?” soalnya.

Beliau mengulas kekeliruan yang timbul semalam selepas Noraini mengumumkan perubahan pendaftaran dan pembelajaran untuk sesi baharu ini dijalankan secara dalam talian.

Namun pada masa itu ribuan pelajar sudahpun kembali ke kampus, sama ada untuk pendaftaran baharu atau untuk semester pengajian baharu ketika jumlah kes Covid-19 melonjak semula.

Pengumuman itu menimbulkan pelbagai masalah kepada pelajar, terutama yang membuat perjalanan jauh dan menanggung tinggi.

Susulan itu, Noraini hari ini mengumumkan pelajar yang sudah tiba di universiti supaya kekal berada di sana hingga arahan lanjut diberikan.

Pelajar yang masih berada di kediaman atau kampung halaman pula diminta kekal berada di rumah dan menasihatkan supaya pendaftaran pelajar dibatalkan.

Kenyataan dan itu dibuat selepas beliau dikecam teruk oleh para pelajar berkenaan menerusi Twitter dengan menggunakan tanda palang #MenteriKPTsilaletakjawatan.

Mengulas isu sama, Mahasiswa Amanah Nasional pula menyifatkan pengumuman Noraini itu tidak menyelesaikan masalah dan kekeliruan seperti yang dilihat berlaku di Universiti Teknologi Mara.

Anggota exconya Muhammad Abrar Sadiq Azizi berkata, mahahasiswa universiti itu tetap tidak dapat masuk ke kolej kediaman kerana pentadbiran kampus salah faham.

“Namun, setelah ditularkan perkara tersebut, UiTM mengambil pendirian agar pihak kolej menerima mereka yang terkandas buat sementara waktu,” jelasnya.

Abrar seterusnya menuntut KPT menjaga kebajikan pelajar termasuk menanggung kerugian yang dihadapi.

“Di sini perlunya pihak KPT dan pengurusan IPT memainkan peranan dalam mengatasi kerugian dihadapi mahasiswa dan keluarga yang datang dari jauh agar segala kebajikan mereka terbela.

“Kerugian masa, wang ringgit membuktikan keputusan KPT ini merupakan keputusan yang membebankan ramai pihak.

“Ada yang perlu beli semula tiket bas dan tiket kapal terbang selepas diarah pulang semula ke rumah,” katanya.

Beliau menggesa kementerian berunding dengan beberapa pihak berkepentingan seperti syarikat bas dan penerbangan untuk untuk mengurangkan beban pelajar yang datang dari jauh itu.

Gesaan sama disuarakan satu lagi pertubuhan pelajar, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang turut menuntut agar pemakluman dibuat secara baik oleh kerajaan.

Pengerusinya Mohd Alif Anas Md Noor berkata universiti juga perlu memberi penginapan dan menerima pendaftaran mahasiswa yang sudah tiba ke kampus.

“Kementerian perlu) mengeluarkan segera pemakluman massa kepada semua mahasiswa IPT sama ada melalui emel dan media sosial rasmi mengenai perkara ini dan sentiasa berkomunikasi dengan mereka sekiranya terdapat sebarang pindaan prosedur,” jelasnya.

Antara pelajar yang terjejas, Mohamad Syazwi Naufal Mohamad Nadzir, 19 tahun dari Pendang, Kedah yang mengalami kerugian kira-kira RM650 akibat perubahan saat akhir itu.

Beliau kesal kerana pengumuman saat akhir itu bukan hanya merugikan wang ringgit wang ringgit tetapi menganggu persiapan awal dan mental pelajar.

“Ramai pelajar telah buat persediaan awal daripada segi pengangkutan dan tempat tinggal. Kenyataan KPT pula hanya mencadangkan seolah-olah mereka lepas tangan kepada pihak universiti.

“Dan paling penting, kenapa tidak buat keputusan lebih awal? Semua tahu bulan Oktober adalah bulan pendaftaran pelajar. Sekurang-kurangnya KPT maklumkan lebih awal supaya para pelajar bersedia,” tambahnya.

Katanya berkata beliau sepatutnya mendaftarkan diri pada 11 Oktober di UiTM Dengkil, Selangor dan membuat tempahan penginapan dan tiket bas untuk keluarganya untuk perjalanan itu.

“Ibu saya adalah ibu tunggal, kami rancang untuk naik bas dari Kedah ke Selangor dan kemudian, ibu saudara saya akan bawa kami daftar ke kampus.

“Jadi, saya dan keluarga telah tempah tiket bas berjumlah RM350 dan hotel pula hampir RM300. Tiket bas tidak boleh dibayar balik, mujur pihak hotel mahu membayar wang itu semula,” jelasnya.

Kesulitan seperti dialami pelajar terbabit mendapat perhatian orang ramai, aktivis dan pemimpin parti yang tampil menghulur bantuan.

Antaranya, parti belia Muda yang mengumpul RM51,145 menerusi sumbangan dana awam dalam tempoh tiga jam.

Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik turut melancarkan kempen mengumpul dana dan telah berjaya meraih lebih RM150,000 setakat berita ini ditulis. – 4 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen