Lebih RM40,000 berjaya dikutip bantu pelajar terkandas, kata Maszlee


Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik berkata pihaknya turut menerima 3,695 permohonan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2020.

DALAM tempoh kurang 24 jam selepas dilancarkan, kutipan yang dibuat oleh bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik bagi membantu pelajar universiti terkandas berjaya mengumpul lebih RM40,000.

Kempen #SiswajagaSiswa yang dilancarkan bekas pemimpin Bersatu itu juga turut menerima permohonan daripada 3,695 pelajar yang terjejas dengan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi menangguhkan pengambilan pelajar pada Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.

“Setakat ini sejak kempen mula dilancarkan malam tadi, kami berjaya mengutip RM43,998 dan menerima 3,695 permohonan.

“Oleh kerana terlalu ramai yang memohon, saya menggesa orang ramai menyebarkan kempen ini agar lebih ramai dapat membantu.”

“Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan : 5647-1752-7213,” katanya.

Tambah ahli Parlimen Simpang Renggam itu, 100 penerima pertama akan mendapat banuan hari ini.

“Kita akan buat pengumuman pada pukul 1 petang,” katanya dalam Facebook.

Terdahulu, Maszlee berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan pelajar yang tidak mempunyai wang cukup untuk pengangkutan dan penginapan selepas penangguhan itu.

Semalam Kementerian Pengajian Tinggi menasihatkan semua institusi pengajian tinggi menangguhkan pengambilan pelajar secara bersemuka berikutan peningkatan kes Covid-19.

“Keputusan untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar terlibat perlu dilakukan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan semua pelajar serta pihak yang terlibat,” katanya. – 3 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen