MENTERI Pengajian Tinggi Noraini Ahmad diasak untuk meletak jawatan selepas pengumuman saat akhirnya mengenai pendaftaran semester baharu menyebabkan ramai pelajar terkandas di kampus.
Pengumuman supaya pelajar mendaftar secara dalam talian itu mencetuskan kemarahan kerana ribuan pelajar dari seluruh negara sudahpun kembali ke kampus untuk memulakan semester baharu.
Pelajar menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung keputusan itu di Twitter menggunakan tanda pagar #MenteriKPTsilaletakjawatan.
“Sila letak jawatan. Kamu tidak pernah pertimbangkan hak mahasiswa semua. Kamu tidak berikan faedah kepada kami tetapi hanya berikan beban,” kata pengguna Twitter @__eresbella.
“Ahli politik buat hal, KPT tidak tegas alasan pandemik tak dapat diramal, isu pengurusan IPT tunggang langgang, yang menerima tempias, menjadi mangsa adalah siswa!
“Kemudian apabila siswa bersuara, dikatakan tak memahami, manja, lemah. Salah siapa sebenarnya?” kata seorang lagi pengguna Twitter @_sysyaaa.
Seorang pelajar lagi mendedahkan, ibu bapanya hanya mempunyai RM500 untuk menanggung tujuh ahli keluarga yang lain bagi membiaya yuran universitinya sebanyak RM3,000.
“Saya tidak dapat sebarang bantuan kerana menilai pendapatan keluarga berdasarkan anggaran sedangkan sebenarnya tidak begitu.
“Bukan saya tidak bersyukur namun ia menyakitkan apabila melihat kesusahan ibu bapa saya hanya kerana mahu lihat saya masuk universiti,” katanya penggua Twitter @junkyomi.
Beberapa pelajar turut merungut bahawa mereka sudah kembali ke kampus dan mempersiapkan bilik asrama sebelum dimaklumkan mereka akan menjalani kelas secara dalam talian.
“Saya habiskan banyak wang masa dan tenaga selepas membersihkan bilik asrama dan mereka meminta saya balik? Bagaimana saya nak balik sekarang? Beritahu saya,” kata pengguna Twitter @hfszrhs.
Pelajar berkenaan mengalami kesukaran selepas kenyataan Noraini yang menasihatkan semua kampus menangguhkan pelajaran bersemuka dan mengubah kepada pengajian secara dalam talian.
Ia berikutan peningkatan semula kes Covid-19, dengan lonjakan kes harian kepada angka 287 semalam.
Arahan itu menyebabkan sesetengah institusi seperti Universiti Teknologi Mara menghalang pelajar untuk tinggal di asrama, dan menyebabkan penuntut berkenaan berdepan pelbagai kesukaran.
Beberapa universiti seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia bagaimanapun membenarkan pelajar tinggal di kampus.
Susulan itu, dalam kenyataan lanjut, Kementerian Pengajian Tinggi semalam memberi kelonggaran kepada pelajar yang sudah berdaftar untuk kekal berada di kampus.
Kenyataan itu juga memberi jainan untuk menyediakan bantuan yang diperlukan kepada pelajar terjejas.
Ia termasuk menghubungi syarikat penerbangan untuk membenarkan pelajar yang sudah membeli tiket mengubah tarikh penerbangan untuk kembali ke kampus sehingga 31 Disember 2020.
Pada Mac lalu, KPT dirunding kontroversi serupa selepas menarik balik keputusan membenarkan pelajar meninggalkan kampus apabila kes Covid-19 naik mencanak.
Tidak sampai sebulan kemudian Noraini sekali lagi berdepan kritikan kerana mempromosikan pertandingan TikTok untuk memastikan rakyat Malaysia kekal di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuakuasa.
Para pelajar yang berdepan dengan pelbagai kesukaran untuk meneruskan pelajaran semasa pandemik itu membidas Noraini kerana melihatnya mengetepikan tanggungjawab sebagai menteri. – 3 Oktober, 2020.
Komen
Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Joe Harry · Ulasan