Bung Moktar, Kitangan, Joachim angkat sumpah timbalan ketua menteri Sabah


Bung Moktar Radin mengangkat sumpah sebagai salah seorang daripada tiga timbalan ketua menteri Sabah, hari ini di Istana Negeri di Kota Kinabalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 29 September, 2020.

BUNG Moktar Radin mengangkat sumpah sebagai salah seorang daripada tiga timbalan ketua menteri Sabah, hari ini.

Pengerusi Umno Sabah itu memenangi kerusi DUN Lamag pada pilihan raya negeri (PRN) minggu lalu dan pelantikan itu sebagai tolak ansur kepada desakan partinya untuk jawatan ketua menteri, yang diberikan kepada Hajiji Noor daripada Bersatu.

Bung Moktar mengangkat sumpah jawatan selepas Hajiji mengangkat sumpah pada 10.30 pagi tadi.

Majlis mengangkat sumpah Kabinet kini sedang berlangsung.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Dr Jeffrey Kitingan ialah timbalan ketua menteri II dan Adun Kundasang dari Parti Bersatu Sabah Joachim Gunsalam, timbalan ketua menteri III.

Tiga timbalan ketua menteri itu turut diberikan jawatan menteri dalam Kabinet negeri.

Bung Mokhtar dilantik ke kementerian perumahan dan kerajaan tempatan, Kitingan ialah menteri pertanian dan industri makanan sementara Joachim memegang kementerian perdagangan dan industri.

Turut mengangkat sumpah hari ini ialah Timbalan Ketua Bersatu Sabah Masidi Manjun sebagai menteri kerja raya sementara Setiausaha Agung PBS Jahid Jahim mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri pembangunan luar bandar. – 29 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen