SINGAPURA mencatatkan 15 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, termasuk dua kes dalam komuniti.
Dalam data ringkas yang dikeluarkan, hari ini Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura menyatakan kedua-dua kes komuniti membabitkan pemegang pas kerja.
Kementerian itu turut memaklumkan terdapat enam kes import yang kesemuanya telah diberikan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura.
Dengan perkembangan terkini itu, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di republik berkenaan kini mencecah 57,715.
Menurut MOH, pihaknya masih meneliti perincian kes dan kemas kini lanjut mengenainya dijangka dikeluarkan malam ini.
Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat malam tadi, kementerian itu mendedahkan hanya satu daripada 15 kes yang dilaporkan semalam adalah pesakit bergejala, manakala selebihnya tidak bergejala dan dikesan menerusi saringan dan pengawasan proaktif MOH.
Setakat ini, MOH telah mengklasifikasikan 1,046 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,245 sebagai kes komuniti dan 54,409 melibatkan penghuni asrama.
Menurut kementerian itu, 57,367 kes telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar daripada hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.
Sebanyak 31 kes yang disahkan masih dirawat di hospital tetapi tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.
Sementara itu, 275 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi masih positif dalam saringan Covid-19 telah diasingkan dan dijaga di kemudahan penjagaan komuniti.
Setakat ini, 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu dengan kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.
Walaupun tiada kluster baharu dikenal pasti semalam, kluster yang berkaitan dengan asrama di 51 Taman Perindustrian Paya Ubi ditutup kerana tiada lagi kes di kawasan itu bagi tempoh dua inkubasi selama 28 hari. – Bernama, 28 September, 2020.
Komen