4 orang maut, taman tema Australia didenda AS$2.5 juta


Empat orang maut dalam tragedi di Dreamworld, Gold Coast, Australia kerana kegagalan sistem keselamatan. – Gambar AFP, 28 September, 2020.

PEMILIK taman tema terbesar di Australia didenda Aus$3.6 juta (AS$2.5 juta) hari ini kerana kegagalan keselamatan yang menyebabkan empat orang terbunuh di taman tema air terkenal itu pada 2016.

Dua wanita dan dua lelaki terbunuh apabila bot mereka bertembung di Thunder River Rapids di Dreamworld, Gold Goast, menyebabkan pendakwaan memfailkan tiga pertuduhan ke atas pemilik taman, Ardent Leisure pada Jun.

Mahkamah Queensland mendapati syarikat itu melanggar undang-undang keselamatan dan kesihatan tempat kerja dan mendendanya kurang daripada denda maksimum Aus$4.5 juta.

Ardent Leisure berkata ia mengaku bertanggungjawab sepenuhnya dan meminta maaf dalam kenyataan difailkan kepada Bursa Saham Australia.

Lembaga pengarah dan eksekutif meluahkan “takziah mendalam” kepada keluarga mangsa kerana kehilangan orang tersayang dalam tragedi yang berlaku di Dreamworld dan penderitaan ditanggung kerana tragedi itu.

Syarikat itu berdepan kecaman hebat awam apabila cuba kembali beroperasi sebelum majlis pengebumian mangsa berlaku, juga berkata ia sudah “mengubah sepenuhnya” prosedur keselamatan taman tema itu.

Ardent Leisure berkata ia sudah membayar pampasan kepada “majoriti” keluarga mangsa, mangsa tercedera dan pelbagai pihak lain yang terkesan kerana tragedi itu dan sedang berusaha menyelesaikan tunggakan pampasan lain.

Pembinaan tugu mengenang mangsa dan tragedi di Dreamworld tertangguh kerana pandemik tetapi kerja dijangka disambung semula bulan ini, tambah syarikat itu lagi. – AFP, 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen