Hakim AS tangguh larangan muat turun TikTok


Pentadbiran Donald Trump menuduh aplikasi TikTok mengancam kselamatan negara AS. – Gambar EPA, 28 September, 2020.

SEORANG hakim mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) semalam menggantung larangan muat turun aplikasi perkongsian video popular TikTok, yang diarahkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump, beberapa jam sebelum ia dikuatkuasakan.

Hakim Carl Nichols mengeluarkan perintah sementara yang dipohon oleh TikTok, yang dituduh oleh White House mengancam keselamatan negara.

Syarikat aplikasi yang berpangkalan di China itu juga dituduh terikat dengan kerajaan Beijing.

Pentadbiran Trump melarang aplikasi TikTok dimuat turun mulai tengah malam (0400 GMT Isnin), tetapi pengguna boleh terus mengakses sehingga 12 November. Hakim Nichols  bagaimanapun menolak permohonan TikTok untuk menggantung larangan akses selepas 12 November.

Hakim itu, melalui prosiding menerusi telefon, mengenai kebebasan bersuara dan keselamatan negara berkait larangan yang mahu dikenakan oleh pentadbiran Trump itu.

Peguam mewakili TikTok, John Hall, berkata larangan tersebut akan “menyusahkan” dan menyekat forum awam yang digunakan berpuluh juta pengguna di AS.

Dalam hujah bertulis sebelum perbicaraan, peguam TikTok berkata larangan ke atas aplikasi itu “tidak munasabah dan berubah-ubah"dan “akan menjejaskan data keselamatan.

Syarikat itu juga berkata larangan tersebut tidak perlu kerana rundingan telahpun dijalankan untuk menstruktur semula apemilikan TikTok bagi menangani isu keselamatan negara, yang dibangkitkan oleh pentadbiran Trump.

Peguam kerajaan pula berhujah Trump berhak mengeluarkan larangan untuk melindungi keselamatan negara, dan syarikat induk TikTok, ByteDance ada kaitan dengan kerajaan China.

Kerajaan AS menuduh ByteDance komited mempromosikan agenda Parti Komunis China (CCP).

“Presiden memutuskan kemampuan China dalam mengawal data ini mengancam keselamatan negara dan dasar luar AS,” menurut hujah peguam kerajaan. – AFP, 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen