Pengundian ditutup, kira undi bermula di Sabah


Bernama melaporkan melalui Twitter semua proses mengundi di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah ditamatkan tepat jam 5 petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 September, 2020.

PUSAT pengundian pilihan raya Sabah telah ditutup dan proses pengiraan undi sedang berlangsung sekarang.

Bernama melaporkan melalui Twitter semua proses mengundi di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah ditamatkan tepat jam 5 petang tadi.

Didapati terdapat pusat pengundian yang tutup lebih awal, kebanyakannya di kawasan pedalaman dengan jumlah pengundi yang sedikit.

Pagi tadi, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh berkata, kotak undian kawasan pedalaman akan dibawa menggunakan helikopter.

“Pusat pengundian (di kawasan pedalaman)  akan ditutup awal, ada yang akan ditutup jam 2 petang atau 3 petang,” katanya.

Setakat 3 petang tadi, SPR merekodkan 58% pengundi keluar mengundi. SPR mensasarkan jumlah yang turun mengundi antara 70% hingga 75%.

Terdapat 1.12 juta pengundi berdaftar di Sabah.

Keputusan undian dijangka lewat berikutan protokol Covid-19. – 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen