Anwar terdesak, kata Azmin


Anwar Ibrahim ketika mengadakan sidang media untuk memaklumkan yang beliau mempunyai sokong majoriti di Dewan Rakyat, pada Rabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2020.

DAKWAAN Anwar Ibrahim yang beliau menerima sokongan “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan merupakan tindakan orang yang terdesak, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali.

“Saya percaya itu hanya pandangan peribadi beliau. Anda pun nampak ahli Parlimen Umno secara terbuka menafikan dakwaan tersebut … ini bukan kali pertama Anwar buat begini sejak 2008.

“Ini tindakan orang yang terdesak, orang yang kemaruk kuasa,” katanya kepada pemberita pada ceramah politik di Kampung Ketiau, di Kota Kinabalu hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga menteri kanan merangkap menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata sekarang adalah masa untuk melupakan perkara yang lepas. 

“Pandemik Covid-19 menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat, kita perlu pastikan keselamatan mereka. Tugas kita sekarang ialah membangunkan semula ekonomi dan itu merupakan fokus Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Katanya sejak hari pertama Muhyiddin menjawat jawatan perdana menteri, beliau bekerja keras untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

“… saya rasa momentum (sokongan rakyat terhadap kerjasama PN-Barisan Nasional) juga semakin meningkat dan rakyat gembira ... PM (perdana menteri) tidak banyak bercakap pasal politik dan beliau menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan keselamatan rakyat,” katanya.

Azmin juga yakin dakwaan ketua pembangkang itu tidak akan mempengaruhi sokongan pengundi Sabah terhadap calon-calon PN-BN pada pilihan raya negeri esok.

Katanya rakyat Sabah mengiktiraf prestasi kerajaan PN setakat ini dan kemampuan kerajaan dalam menyediakan bantuan kewangan serta pakej pemulihan yang turut memanfaatkan mereka.

“Kami (kerajaan persekutuan) mahu mengadakan kerjasama yang lebih rapat dengan kerajaan Sabah. Saya percaya rakyat di Sabah sudahpun memutuskan inilah caranya untuk maju dan mereka akan terus menyokong kerajaan PN,” katanya.

Mengulas kenyataan Presiden BN Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno dan BN tidak boleh menghalang ahli parlimennya daripada menyokong Anwar, beliau berkata kenyataan presiden Umno itu bersifat umum serta menegaskan Anwar yang perlu membuktikan dakwaannya. – Bernama, 25 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen