Sarawak ketatkan peraturan kemasukan dari Sabah


Desmond Davidson

Rakyat Malaysia dan semua warga asing yang ingin memasuki Sarawak melalui Sabah atau Labuan, diminta memohon kebenaran dengan mengisi permohonan EnterSarawak secara dalam talian. – Gambar Facebook, 24 September, 2020.

SARAWAK melaksanakan peraturan perjalanan baharu bagi pengembara dari Sabah dan Labuan susulan lonjakan kes Covid-19 di Sabah.

Daripada 71 kes Covid-19 baharu yang dikesan dalam tempoh 24 jam, 63 dikesan di Sabah.

Rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan, dan semua warga asing yang ingin memasuki Sarawak melalui Sabah atau Labuan, diminta memohon kebenaran dengan mengisi permohonan EnterSarawak secara dalam talian.

Mereka juga diminta mengambil ujian Covid-19 dan melampirkan keputusan ujian - sah sekurang-kurangnya tiga hari - sebelum kelulusan dapat diberikan untuk masuk, kata jawatankuasa pengurusan bencana.

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana negeri yang hari ini. Hanya keputusan ujian rT-PCR yang diterima.

Jawatankuasa itu berkata mereka yang tidak melampirkan keputusan ujian rT-PCR yang sah dalam masa tiga hari sebelum kemasukan tidak akan dibenarkan masuk ke Sarawak.

Bagaimanapun, tempoh berada di negeri ini akan disingkatkan walaupun permohonan diluluskan.

Mereka hanya akan diberi “pas masuk terhad” selama 5 hari.

Bagi memastikan mereka keluar dalam waktu ditetapkan, pelancong juga harus melampirkan salinan tiket penerbangan pulang semasa permohonan dibuat.

Bagi penduduk Sarawak, penduduk tetap dan pemegang Pas Visa Sarawak, mereka juga diminta membuat permohonan dengan mengemukakan permohonan EnterSarawak secara dalam talian.

Bagaimanapun, mereka akan dikenakan arahan tinggal di rumah selama 14 hari.

Mereka akan diberi gelang pengesan.

SDMC berkata semasa kuarantin di rumah, ujian rT-PCR akan dibuat pada hari kedua dan ke-10.

Kos ujian akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Bagi mereka yang berulang-alik antara Sabah, Labuan dan Sarawak seperti pekerja luar pesisir dan bertugas dalam perkhidmatan penting, mereka diminta memohon “pas khas” dari pejabat cawangan jawatankuasa pengurusan bencana berdekatan.

Mereka juga harus diambil sampel untuk ujian virus Covid-19 setiap 14 hari.

Jawatankuasa itu berkata, jika mereka gagal berbuat demikian, pas khas akan dianggap tidak sah.

Jawatankuasa itu juga berkata semua yang masuk perlu mengisytiharkan sekiranya mereka pernah berada di Sabah atau Labuan dalam tempoh 14 hari terakhir.

Jawatankuasa itu memberi amaran kenyataan palsu atau kegagalan memberi maklumat sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan Perlindungan Kesihatan Awam Negeri 1999. – 24 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen