Berundur jika tidak sokong Perikatan, kata Hishammuddin


Foreign Minister Hishammuddin Hussein says negotiating with the Philippines over the country's claim on Sabah will mean admitting that there is a basis for it. – The Malaysian Insight file pic, September 15, 2020.

ANGGOTA pentadbiran Perikatan Nasional (PN) bebas untuk meninggalkan kerajaan jika tidak menyokong kepemimpinan yang ada sekarang, kata Hishammuddin Hussein hari ini.

Beliau berkata, sudah sampai masanya semua orang terus bersatu untuk membangunkan kembali negara dan bukannya bermain drama politik.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Anwar Ibrahim semalam yang mendakwa mendapat cukup sokongan, termasuk daripada beberapa ahli Parlimen Umno, untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Hishammuddin berkata ia bukan kali pertama presiden PKR itu membuat tuntutan sedemikian.

“Ia bukan perkara baru dan mengejutkan. Propaganda seumpama ini sudah dilakukan Anwar berkali-kali. Ia pernah dilakukan pada April 2008, September 2008, Februari 2020 dan terbaru semalam, September 2020.

“Kalau betul sudah memperolehi sokongan hampir 2/3 Dewan Rakyat, beritahulah kepada umum, berapa orang ahli Parlimen yang menyokong dan dedahkanlah siapa ahli Parlimen Umno yang berpaling tadah,” kata menteri luar negeri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Anwar sepatutnya malu kerana cuba menjatuhkan kerajaan ketika negara masih memerangi wabak Covid-19.

“Sedikitpun tidak mengendahkan kebimbangan rakyat sebaliknya hanya memikirkan kepentingan peribadi yang mahu berkuasa sebagai perdana menteri. 

“Cukup-cukuplah. Rakyat sudah penat dengan semua sandiwara ini. Sudah lebih 20 tahun negara terpaksa melalui krisis politik hanya kerana Anwar Ibrahim hendak menjadi perdana menteri.”

Bekas naib presiden Umno itu juga berkata partinya tidak perlu melayan propaganda Anwar.

Beliau menambah pengumuman ahli Parlimen Port Dickson semalam hanya untuk mengalihkan perhatian daripada piliharan raya negeri (PRN) Sabah, yang berlangsung Sabtu ini, untuk memastikan kerajaan persekutuan tidak berjaya dalam pilihan raya itu.

Beliau juga memberi amaran kepada Umno terhadap taktik Anwar yang hanya akan membuatkan DAP menjadi lebih kuat, seterusnya memberi kesan kepada kaum Melayu dan Islam.

“Apa jua yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim semalam, perkara paling penting untuk parti ialah fokus kepada usaha memenangi PRN Sabah.

“Jentera Umno dan Barisan Nasional berpenat-lelah dan berjuang selama berminggu berkempen demi memenangkan calon-calon kita.”

Beliau berkata pendiriannya jelas - menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Apa jua ketidaktentuan ini, semua anggota Jemaah Menteri dan ahli-ahli Parlimen kerajaan mesti beri sokongan padu kepada perdana menteri.

“Jangan kita menjadi anggota penting kerajaan, menikmati kelebihan yang diperolehi tetapi pada masa yang sama tidak menyokong kepimpinan,” katanya.

“Bagaimanapun, jika ada anggota kerajaan yang bertekad sudah tidak mahu menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada, eloklah berundur dari kerajaan,” katanya.

Anwar semalam berkata kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin sudah jatuh kerana beliau mempunyai majoriti meyakinkan untuk mengambil alih Putrajaya.

Beliau berkata sudah bercakap dengan Yang di-Pertuan Agong melalui panggilan telefon selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara.

Anwar berkata hanya akan mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang berpihak kepadanya selepas memaklumkan kepada Agong. – 24 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen