Aktivis bimbang kes tanah haram Musang King jadi isu kaum


Mohd Farhan Darwis

Kerajaan perlu tegas bendung jenayah teroka tanah haram jika tidak mahu ia jadi isu kaum, kata Presiden Alam Khaidir Ahmad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 September, 2020.

AKTIVIS bimbang penerokaan tanah haram yang masih berleluasa oleh pengusaha ladang durian di Raub dan Bentong mencetuskan kebencian kaum sekiranya tidak ditangani kerajaan.

Oleh itu kerajaan Pahang perlu bertindak tegas untuk membendung jenayah tersebut, kata Presiden Perikatan Pencinta Alam Malaysia (Alam) Khaidir Ahmad.

“Kita kena tegas, kalau tidak habis tanah-tanah ini. Kalau kerajaan tak ambil tindakan bijaksana, ia boleh cetuskan perbalahan kaum,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Khaidir berkata, perkara itu dapat dikesan apabila timbul tuntutan dan rasa tidak puas hati di kalangan peneroka tahan haram itu seperti bantahan yang diadakan pada 24 Ogos lalu.

“Sekarang orang Melayu dah buat tunjuk perasaan. Ada yang mahu rampas tanah, satu kumpulan lagi hendak tanah itu diberi geran.

“Ini kerana orang Melayu lihat mereka teroka tak boleh, tapi kaum lain boleh,” katanya.

Jelasnya ini kerana terdapat kes peneroka dari kalangan orang Melayu dikenakan tindakan segera  sedangkan kesalahan sama dibiarkan apabila dilakukan peneroka dari kaum lain, katanya.

“Seolah-olah bila orang Melayu teroka satu, dua ekar kena tangkap. Tetapi apabila orang Cina teroka berpuluh ekar tanah tiada sebarang tindakan.

“Rakyat ini semua ada hak. Kalau nak bagi (tanah), bagi (kepada) semua. Kalau tidak, ambil tindakan kepada semua,” katanya.

Isu teroka tanah untuk penanaman durian di Raub kini terheret faktor kaum dan korupsi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2020.

Tambah beliau kerajaan Pahang boleh mengambil tindakan sama yang serius seperti dijalankan di negeri lain.

“Bagi saya, (Pahang) kena tegas, kenapa Selangor dan Johor boleh tegas. Bila tegas, sebelum kegiatan pencerobohan bermula mereka dah hentikan.

“Tetapi di Pahang, kerajaan biarkan kemudian lama-lama jadi melarat,” kata Khaidir lagi yang menggesa Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mengambil tindakan segera.

Bekas wartawan penyiaran TV3 itu juga berkata beliau mempunyai bukti ribuan ekar tanah haram sedang diceroboh di Bentong untuk ditanam dengan durian Musang King.

Kesalahan itu, yang menurutnya dibuat tanpa tindakan pihak berkuasa didedahkan beliau Facebook dalam satu siri tulisan bersama bukti beberapa keping gambar dan video.

Pihaknya mendakwa, terdapat sindiket yang menceroboh tanah kerajaan berkeluasan ribuan ekar sebelum menjual secara lot kepada pelabur yang berminat.

Pengusaha tapak semaian itu juga berkata penerokaan haram tersebut dapat dihidu apabila terdapat peladang durian memesan benih durian dan buah-buahan lain dengan jumlah besar darinya.

Antara benih yang dipesan itu terdiri daripada jenis Musang King, yang menghasilkan buah dengan permintaan tinggi di luar negara.

Berdasarkan perbualannya dengan individu berkenaan, Khaidir berkata, beliau diberitahu benih tanaman bernilai puluhan ribu ringgit itu akan ditanam di atas tanah berkeluasan 40 ekar.

Individu itu mendedahkan ia akan ditanam di tanah yang diteroka secara haram sejak 30 tahun lalu di kawasan hutan simpan di Bentong.

“Mereka memang ceroboh, itu kawasan hutan simpan, beribu ekar sudah ditanam durian Musang King.

Ketika dibawa melawat tapak tersebut semasa menghantar benih oleh individu berkenaan, beliau mendapat tahu setiap lot projek tanah haram itu dijual kepada pelabur dengan harga amat murah.

Ia membolehkan kalangan pelabur membeli tanah berkenaan dengan harga serendah RM5,000 hingga RM15,000 seekar bergantung kepada bentuk muka bumi.

Katanya, lot tanah di kawasan bukit, lembah dan kedudukan paling hampir dengan sungai berjeram batu diletakkan harga paling mahal.

Menurut kerajaan Pahang, negeri itu kehilangan hasil cukai tanah kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun lalu daripada penerokaan hutan simpan terbabit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2020.

Tambahnya, beliau turut ditawarkan tanah antara yang terbaik dikawasan yang diceroboh itu dengan harga RM12,000 bagi tiga lot tanah berkeluasan 12 ekar.

“Saya sayang kawasan ini ada jeram, air terjun tapi mereka suka-suka hati jual hingga RM15,000 seekar.

“Ini masalahnya bila tiada tindakan segera, lama-lama ia akan berlarutan,” katanya.

Di Raub, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudahpun merampas dokumen dari pejabat tanah dan pejabat hutan melibatkan kes penerokaan haram tanah untuk tanaman durian.

Seramai 18 orang pekebun di daerah itu juga sudahpun dipanggil untuk memberi keterangan siasatan.

Seramai 118 pekebun yang terlibat dengan siasatan kerajaan negeri berhubung penerokaan tanah haram tersebut mendapat perintah sementara untuk menggantung arahan pengosongan tanah.

Menurut kerajaan Pahang, negeri itu kehilangan hasil cukai tanah kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun lalu daripada penerokaan hutan simpan terbabit. – 20 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen