Muhyiddin, si calon pilihan raya Sabah


SAYA sedang di Sandakan, berkempen untuk gabungan Warisan Plus. Di sepanjang jalan utama Sandakan, poster dihiasi wajah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terpampang merata-rata, seolah-olah beliau yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September nanti.

Jangan tersilap. Masa depan politik Muhyiddin bergantung kepada hasil pilihan raya ini. Pertaruhan bagi Muhyiddin amatlah tinggi, bahkan lebih tinggi berbanding Shafie Apdal.

Ini sememangnya perlawanan antara Shafie dengan Muhyiddin!

Ternyata Muhyiddin si calon pilihan raya dan pesuruhnya, Setiausaha Agung Bersatu merangkap Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin adalah pencetus pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah. Mereka perlu dihukum atas cubaan menjatuhkan kerajaan yang terbina atas mandat rakyat negeri Sabah.

Untuk gambaran lebih jelas, mari kita menghimbau semula kejadian pada penghujung Februari bagi memahami kenapa si Muhyiddin ini perlu menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Shafie.

Rampasan kuasa separuh masak

Perancang Langkah Sheraton membuat satu andaian dangkal bahawa Shafie dan mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memihak mereka untuk mencukupkan bilangan, dan mereka memiliki sejumlah 130 kerusi.

DAP, PKR dan Amanah mempunyai 92 kerusi sehingga Ahli Parlimen Lubok Antu Tambat Jugah Muyang memihak kepada Muhyiddin.

Dr Mahathir dan Shafie kedua-duanya tidak hadir ke Hotel Sheraton pada petang Ahad 23 Februari.

Dr Mahathir enggan menyokong rampasan kuasa terbabit dan seterusnya meletakkan jawatan pada Isnin 24 Februari. Di tengah kekeliruan sekitar persoalan Kerajaan Perpaduan, Pakatan Harapan memutuskan untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri pada petang Selasa 25 Februari, dan mengulangi sokongan tersebut di Istana Negara pada Rabu 26 Februari.

Selepas kenyatan daripada pihak Istana Negara pada 4 petang Jumaat 28 Februari, kami berjaya memulihkan komunikasi antara Anwar dan Dr Mahathir, serta berbincang untuk kembali berpakat dalam satu mesyuarat di kediaman peribadi Dr Mahathir pada 8 malam.

Pihak Anwar bersetuju untuk kembali bersama Dr Mahathir dan mesej itu disampaikan kepada Dr Mahathir pada 8 pagi, Sabtu 29 Januari.

Saya turut hadir sama dalam pertemuan itu.

Dengan segera, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menelefon Darell Leiking yang berada bersama Shafie. Melalui panggilan telefon, Shafie menyatakan sokongan parti Warisan terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr Mahathir.

Pada pagi bersejarah 29 Februari itu, Shafie yang membuat suatu ketetapan tegas. Walaupun Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac, angan-angannya untuk memerintah dengan sejumlah 130 kerusi dinafikan oleh Dr Mahathir dan Shafie. Kerajaan Muhyiddin berdiri tempang dengan majoriti satu digit sejak awal lagi, dan kini berada pada angka 113 berbanding 109.

Pakatan Plus berjaya mengekalkan 109 kerusi, bukan 91 atau 92 disebabkan peranan yang dimainkan oleh Shafie dan Warisan.

Sabah memimpin Malaysia

Setelah bertahun-tahun diperhambakan kerajaan persekutuan yang didominasi Umno, rakyat Sabah tidak percaya ia mampu menentukan masa depan Malaysia.

Tetapi Shafie dan ahli Parlimen Sabah adalah umpama sembilu bagi Muhyiddin, dan menjadi penentu permainan bagi beliau sejak 29 Februari lagi.

Muhyiddin kemudiannya menghantar Hamzah ke Sabah untuk “berbeli-belah”. Akhirnya pada 29 Julai, sehari selepas mantan perdana menteri Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun; mantan ketua menteri Musa Aman mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti.

Dan jangan pula kita terlupa – pada 9 Jun, Jabatan Peguam Negara menggugurkan 46 pertuduhan rasuah terhadap Musa.

Pendek kata, PRN Sabah dicetuskan oleh Muhyiddin si “calon PRN” yang cuba menumbangkan kerajaan Shafie kerana peranan yang dimainkan beliau bagi mengekalkan bilangan 109 kerusi di pihak pembangkang di peringkat nasional.

Menggagalkan ‘the scheme of things’

Pada 30 Julai, Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Juhar Mahiruddin bersetuju dengan permintaan Shafie untuk membubarkan DUN negeri Sabah, demi mengembalikan mandat kepada rakyat.

Pada 26 September nanti, sekiranya gabungan Warisan Plus berjaya meraih majoriti meyakinkan sebanyak lebih 45 kerusi, kita boleh membilang hari-hari terakhir Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Yang paling awal akan merasakan kesannya tentulah Gabungan Parti Sarawak.

GPS bukanlah sekutu PAS, manakala retoriknya sepanjang beberapa tahun lalu, terutamanya pada zaman Adenan Satem, kebanyakannya bersifat anti-Umno.

Umno dengan wajah Najib dan Zahid Hamidi tentunya bukan faktor tarikan pilihan raya yang baik. Kemenangan meyakinkan oleh Shafie dan Warisan Plus akan memberi tekanan hebat kepada GPS.

Perkelahian antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah sepanjang pilhan raya negeri turut membangkitkan persoalan sama ada kerajaan Muhyiddin boleh bertahan.

Ini mungkin kali pertama dalam sejarah Malaysia di mana kata-kata seorang perdana menteri hampir tidak membawa kesan ke atas rakan-rakan gabungannya, seperti yang boleh dilihat ketika BN menolak Hajiji Mohd Noor sebagai calon ketua menteri, walaupun dicalonkan oleh Muhyiddin sendiri.

Pengundi Sabah bukan sekadar menentukan nasib pentadbiran Shafie sebagai ketua menteri, dan memilih parti mana yang akan mentadbir negeri Sabah untuk penggal akan datang. PRN Sabah akan menentukan sama ada Muhyiddin akan kekal sebagai perdana menteri atau tidak dalam penggal akan datang.

Pertaruhannya nampak begitu sengit untuk kedua-dua calon Shafie dan Muhyiddin. – 17 September, 2020.

* Liew Chin Tong ialah pengarah pendidikan politik DAP.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen