Husam letak jawatan naib presiden Amanah, kata sumber


Diyana Ibrahim

Husam Musa melepaskan jawatan sebagai naib presiden Amanah dan pengerusi Pakatan Harapan Kelantan sebagai tanda protes terhadap Mohamad Sabu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2020.

HUSAM Musa melepaskan jawatan sebagai naib presiden Amanah dan pengerusi Pakatan Harapan Kelantan sebagai tanda protes terhadap kepimpinan presiden parti Mohamad Sabu, kata sumber.

Beberapa sumber dalaman parti memberitahu The Malaysian Insight, Husam menyerahkan surat peletakan jawatannya dua minggu lalu.

“Husam cuma melepaskan jawatan lantikannya dalam parti saja.

“Jawatan yang beliau menang iaitu ketua Amanah Kota Bharu, tak letak jawatan.

“Surat (peletakan jawatan) dihantar dua minggu lalu tetapi pejabat Amanah masih mendiamkan diri,” kata sumber.

Husam yang dua kali dihubungi oleh The Malaysian Insight enggan memberikan sebarang komen.

Seorang sumber mendedahkan Husam tidak puas hati dengan kepimpinan Mohamad, atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu, atas beberapa sebab.

“Mat Sabu ini dilihat tak sepenuh hati dengan Dr Mahathir Mohamad dan juga tidak pada Anwar.

“Macam pagi ini beliau (sokong) Anwar petangnya pula (sokong) Dr Mahathir. Malamnya pula sokong Anwar dan tiba-tiba esok pagi pergi balik kepada Dr Mahathir.

“Jadi sangat lemah, tidak ada pendirian. Beliau nak pujuk Anwar, pada masa sama nak ikut Dr Mahathir,” katanya.

Sumber menjelaskan walaupun Husam dilihat antara penyokong Anwar, beliau sebenarnya lebih dekat dengan Dr Mahathir.

Husam adalah antara penggerak kempen Deklarasi Rakyat, kata sumber, yang dijalankan oleh Dr Mahathir selepas beliau keluar Umno pada awal 2016 dan sebelum menubuhkan Bersatu.

Husam ketika itu mempengerusikan gerakan Deklarasi Rakyat di Kelantan untuk menjatuhkan Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Husam ada akses terus dengan Dr Mahathir, sebulan sekali beliau akan berjumpa dengan Dr Mahathir.

“Tapi dari segi sikap politik beliau dicop sebagai pro Anwar,” katanya.

Husam menyertai Amanah selepas dipecat dari PAS pada Mei 2016. Sebaik menyertai Amanah, Husam dilantik sebagai naib presiden dan pengerusi PH Kelantan.

Pada pemilihan Amanah 2019, senator itu tidak bertanding mengekalkan jawatannya  namun beliau tetap dilantik sebagai naib presiden bagi tempoh 2019-2022.

Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah yang terpilih dalam pemilihan itu turut mengekalkan Mohamad sebagai presiden parti.

Husam bukanlah pemimpin parti Amanah pertama yang letak dengan alasan tidak puas hati kepada pucuk pimpinan.

Pada Julai lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri Adun Serom, Faizul Amri Adnan melepaskan jawatan sebagai pengerusi jawatan pendidikan dan ahli jawatankuasa Amanah Johor.

Faizul berkata keputusannya itu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti di peringkat negeri dan konflik dalam parti setiap peringkat.

Menurut sumber, Presiden Amanah Mohamad Sabu menjadi punca Husam Musa meletakkan jawatan sebagai naib presiden parti itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2020.

“Mat Sabu diktator”

Dalam pada itu, seorang sumber berkata Husam tidak puas hati dengan cara Mohamad yang disifatkan “diktator” dalam memimpin parti.

Beberapa keputusan penting parti katanya tidak dirujuk terlebih dahulu dengan pemimpin lain.

Mohamad juga tidak mengendahkan desakan Husam yang mahu mesyuarat biro politik diadakan bagi membincang strategi parti, tambahnya.

Mohamad sebaliknya dilihat lebih senang merujuk kepada DAP untuk berkongsi masalah dan membuat keputusan parti, katanya.

“Banyak keputusan politik dibuat Mat Sabu secara ‘one man show’.

“Sejak Amanah ditubuhkan tidak ada pun mesyuarat biro politik. Yang dipanggil mesyuarat Amanah pusat itu macam mesyuarat parti kawasan… bincang hal seperti duit ada berapa, aktiviti, program, itu saja.

“Husam juga melihat Mat Sabu bukan pemimpin strategis tapi hanya ikut arus dan keadaan.

“Mat Sabu merasakan pengundi Cina adalah segalanya sebab itu apabila ada pergolakan berlaku dalam Amanah beliau tak rujuk dekat kawan dalam parti tapi rujuk pada DAP, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Anthony Loke,” katanya.

Sumber juga mendakwa Mohamad pernah memaksa AJK pusat Amanah untuk memilih Anwar sebagai pengerusi PH biarpun tiga perempat pimpinan bersetuju Dr Mahathir memegang jawatan itu.

“Tapi masa itu dihalang oleh Khalid Samad. Beliau pemimpin yang berani melawan Mat Sabu.

“Berbanding dengan Salehuddin Ayub yang lebih nak jaga hubungan mungkin sebab beliau pegang kedudukan nombor dua dalam parti,” katanya, apabila ditanya bagaimana reaksi pemimpin lain.

Sumber itu juga berkata banyak lagi keputusan Mohamad yang tidak dipersetujui oleh Husam, antaranya pelantikan setiausaha politik beliau yang kini dikaitkan dengan siasatan rasuah.

Seorang lagi sumber dalam Amanah turut mengesahkan alasan peletakan jawatan Husam.

Sumber bagaimanapun menafikan Amanah kini berpecah kepada dua kem iaitu pro Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir.

“Akar umbi banyak ikut konsensus parti, tidak ada pro Anwar dan pro Dr Mahathir.

“Buat masa ini kita bersama Anwar dan tidak bergaduh dengan Pejuang,” katanya, merujuk parti baharu Parti Pejuang Tanah Air yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir. – 14 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen