Hati-hati ulas isu, kata PAS Sabah


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha PAS Sabah Dr Ali Akbar Gulasan berkata, kenyataan yang berbentuk sentimen kaum dan agama amat berbahaya di Sabah dan menyukarkan usaha jentera akar umbi PAS untuk bergerak di negeri itu. – Gambar ihsan Facebook rasmi PAS, 13 September, 2020.

PERWAKILAN PAS Sabah memberi peringatan kepada pimpinan parti Islam itu agar tidak mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya, terutama membabitkan hubungan kaum, ketika kempen rasmi pilihan raya negeri itu masuk hari kedua.

Setiausaha PAS Sabah Dr Ali Akbar Gulasan berkata, kenyataan yang berbentuk sentimen kaum dan agama amat berbahaya di Sabah dan menyukarkan usaha jentera akar umbi PAS untuk bergerak di negeri itu.

“PAS kadang kalanya dicop sebagai parti Semenanjung. Kita (dikatakan) tak selari dengan parti lokal. PAS hanya sesuai di Tanah Melayu tak sesuai di Borneo, di Sabah dan Sarawak. Ini sentimen dimainkan di mana-mana khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Saya mohon maaf kepada para pimpinan, berhati hati keluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan masalah kepada kami,” katanya, ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Muktamar PAS ke-66 di Pengkalan Chepa, hari ini.

Dua ahli Parti Solidariti Tanah Airku (Star) di Sabah minggu lalu memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kenyataannya mendakwa kitab Injil telah dipesongkan.

Kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan penganut Kristian di Malaysia.

Ali Akbar menjelaskan sesetengah kenyataan pemimpin PAS mungkin boleh diterima oleh rakyat di Semenanjung namun tidak sesuai untuk kumpulan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Kami berada di Sabah dan Sarawak berhadapan masyarakat pelbagai kaum yang mungkin bahasa itu sesuai di Kelantan, Terengganu, dan Kedah (tetapi) sangat tak sesuai di Sabah dan Sarawak kerana boleh menimbulkan sentimen dan konflik kerana yang berhadapan dengan masyarakat adalah kami yang membawa PAS di Sabah.

“Maaf seribu kali maaf, sebab itu sentimen ini kita rasa kecil tapi masyarakat di lapangan, yang berhadapan kami ini boleh jadi sentimen besar yang boleh sebabkan PAS terpinggir kepada masyarakat,” katanya.

Ali Akbar berkata, walaupun pimpinan PAS Sabah kecewa kerana pucuk pimpinan memutuskan untuk tidak menyertai pilihan raya negeri, jentera dan akar umbi akan tetap membantu calon-calon Barisan Nasional dan Perikatan Nasional untuk memastikan rakan kerjasama politik mereka menang.

“Jangan dianggap apabila kita tak bertanding jentera kita lemah. 

“Kita akan turun ke gelanggang dan medan membantu rakan kita menang, kerana yang menjadi sebahagian kejayaan kita bersama.

“Kita tak hadir (dalam PRN Sabah) kerana kita meraikan muafakat yang mudah-mudahan kehadiran kita sebagai rakan yang setia untuk menjadikan perpaduan lebih kukuh,” katanya.

Menurutnya, ini adalah kali pertama PAS tidak bertanding dalam PRN Sabah, selepas ditubuhkan di negeri itu sejak 1986.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini mengumumkan PAS tidak akan bertanding di PRN Sabah.

Keputusan itu menyebabkan beberapa perwakilan Pemuda PAS ketika sesi muktamar mereka semalam melahirkan rasa kekecewaan.

Namun begitu, mereka tetap akur dengan keputusan pimpinan tetapi memberi amaran kepada rakan politik mereka agar tidak mengambil kesepatan terhadap sikap berlapang dada parti Islam itu.

Perwakilan PAS dari Pahang Shahril Azman Abdul Halim dalam ucapan perbahasannya hari ini berkata, sikap sama harus ditunjukkan rakan politik PAS dalam agihan kerusi di Semenanjung untuk Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

“Saya ingat di Semenanjung kena ada sikap sama. Kerja memperkasa dan memperkukuh parti sikap sama, kadangkala Kelantan kena beri kerusi kepada Johor, atau sebaliknya, yang tujuannya supaya PAS kukuh di Johor atau Melaka.

“Saya sebut secara dasarnya, (saya harap semua) faham-fahamlah,” kata Adun Jengka itu.

Muktamar Pemuda PAS semalam meluluskan usul menuntut 50 kerusi dalam PRU15. Usul yang dikemukakan oleh Pemuda PAS Bagan Serai itu juga meminta satu perlima daripada jumlah kerusi PAS nanti diberikan kepada calon pemuda. – The Malaysian Insight, 13 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen