Iktiraf Israel bermakna iktiraf kekejaman mereka


TINDAKAN Bahrain mengikut jejak langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel adalah satu bentuk pengkhianatan besar kepada perjuangan bertahun-tahun rakyat Palestin ke atas segala kekejaman dan penindasan yang telah dilakukan oleh Israel. 

Tindakan Bahrain ini jelas menunjukkan kepada kita betapa lemahnya semangat solidariti atau persaudaraan sesama Islam yang sering dilaung-laungkan oleh semua negara Islam sebelum ini. 

Langkah yang diambil oleh Bahrain ini menjadikannya negara Islam keempat dalam kalangan negara-negara Islam yang telah mengadakan hubungan diplomatik dan mengiktiraf kewujudan Israel selepas Mesir, Jordan, dan UAE. Terdapat 57 buah negara Islam di serata dunia. 

Tindakan Bahrain dan UAE ini dibimbangi akan menyebabkan lebih banyak negara Islam yang akan mengambil langkah sama, sekaligus memberi pengiktirafan kepada kewujudan Israel sebagai sebuah negara. 

Semua negara perlu tahu dengan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dan mengiktiraf kewujudan Israel, mereka juga mengiktiraf segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin. 

Buat sekian lama, Israel telah mengetepikan banyak peruntukkan undang-undang antarabangsa dengan melakukan pelbagai jenis kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin. 

Terdapat juga usaha diambil oleh pihak Israel serta pihak-pihak tertentu yang bersekongkol dengan Israel untuk menafikan kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas merdeka seperti pengisytiharan kota Baitulmaqdis secara sepihak sebagai ibu kota Israel pada penghujung tahun 2017 yang lalu. 

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netenhayu sendiri melalui kempen politiknya menyatakan banyak kali hasratnya untuk mengambil beberapa kawasan milik Palestin di Tebing Barat sebagai wilayah mutlak Israel. 

Ini jelas menunjukan bahawa Israel memang tidak memiliki sebarang hasrat untuk berdamai dengan Palestin malah tidak memiliki sebarang hasrat untuk membenarkan kewujudan sebuah negara Palestin.  

Sudah ramai rakyat Palestin yang telah menjadi mangsa kepada kekejaman dan penindasan oleh Israel termasuklah warga tua, kaum wanita dan golongan remaja dan kanak-kanak. 

Pada masa sama, pihak Israel telah melanggar berpuluh-puluh peruntukan undang-undang antarabangsa dan beratus resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan di tanah Palestin.

Mereka juga meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok pemisahan di tanah milik Palestin, serta menafikan hak jutaan pelarian Palestin yang berada di sekitar negara-negara Arab untuk kembali ke tanah air sendiri. 

Daripada mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, satu tindakan tegas perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi menghukum Israel kerana kegagalan mereka untuk hidup dalam sebuah masyarakat yang bertamadun serta yang berpandukan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Antara langkah paling drastik yang boleh dipertimbangkan ialah dengan menyingkir Israel terus dari PBB. 

Israel perlu diingatkan bahawa penubuhan negaranya pada tahun 1948 yang lalu banyak terhutang budi kepada PBB sendiri. 

Pada tahun 1947, PBB telah memutuskan untuk membahagikan daerah mandat British di Palestin. Keputusan itu ditentang keras oleh negara-negara Timur Tengah dan banyak negara Islam di serata dunia. 

Semenjak penubuhan negara Israel, pelbagai masalah telah ditimbul oleh Israel terutamanya terhadap rakyat Palestin yang juga jelas bertentangan dengan tujuan dan matlamat asal penubuhan PBB itu sendiri. 

Antara matlamat utama penubuhan PBB, sebagaimana yang ditetapkan dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 adalah untuk mengelakkan perulangan konflik dan pertikaian yang hebat, menegakkan prinsip hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat terhadap undang-undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia. 

Semua matlamat yang dinyatakan di dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 jelas tidak dipatuhi oleh Israel semenjak penubuhan negara mereka lebih 70 puluh tahun yang lalu. 

Oleh yang demikian, sewajarnya Israel disingkir terus dari PBB. 

Perkara 6 Piagam PBB 1945 terbabit turut menyatakan dengan jelas bahawa “Ahli PBB yang telah berterusan melanggar prinsip yang terkandung dalam piagam ini boleh dibuang daripada Pertubuhan Melalui Perhimpunan Agung atas syor Majlis Keselamatan”. 

Cadangan penyingkiran Israel dari PBB ini sukar dilaksanakan terutamanya tanpa sokongan sesetengah negara yang menduduki Majlis Keselamatan PBB yang menjadi proksi serta penyokong kuat Israel seperti Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Donald J. Trump.

Namun langkah atau usaha yang patut diambil ini sekurang-kurangnya dapat memberi isyarat jelas kepada Israel dan sekutunya bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam dan hanya melihat terhadap segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh mereka terhadap rakyat Palestin. 

Pada masa sama juga langkah penyingkiran Israel dari PBB dapat memberi sokongan moral tidak berbelah bagi kepada rakyat Palestin. – 13 September, 2020. 

* Dr. Muzaffar Syah Mallow, pensyarah kanan Fakulti Syariah & Undang – Undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen