Najib kini lebih kuat, sasar menang PRU14, kata penganalisis


Perjanjian peribadi antara Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan memberi kemenangan kepada BN pada PRU14, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2017.

KEMENANGAN akan menjadi milik Perdana Menteri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), disebabkan “perjanjian peribadi” bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang, kata penganalisis politik.

Pengarah Asia Insitute di Universiti od Tasmania, James Chin berkata, menjelang akhir tahun ini, politik Najib akan menjadi lebih kukuh kerana perjanjian itu telah berjaya mengenepikan musuhnya, Dr Mahathir Mohamad dan pakatan pembangkang yang diketuai bekas perdana menteri itu.

PAS memutuskan hubungannya dengan DAP atas bantahan terhadap hukum hudud, yang juga telah meruntuhkan blok Pakatan Rakyat.

Pada April, PAS mencipta sejarah apabila rang undang-undang persendirian Hadi dibentangkan di Dewan Rakyat. Rang undang-undang itu bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 lebih dikenali dengan akta Melayu RUU355.

“Najib telah berjanji dengan Hadi yang Umno akan menyokong RUU355. Kebanyakan pakar undang-undang percaya apabila Parlimen meluluskan RUU355, ia akan merupakan langkah pertama untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang sekular,” kata Chin dalam analasisnya.

“Perjanjian tidak bertulis antara Najib dan Hadi ialah sebaik sahaja Najib menang pilihan raya umum, Umno akan menggunapakai RUU355 sebagai undang-undang kerajaan.”

Strategi pilihan rayanya ialah PAS menjadi “spoiler” pada PRU14 dengan mewujudkan pertandingan tiga penjuru sebanyak yang mungkin dalam 110 hingga 120 kerusi Melayu-Islam, yang disasarkan Bersatu dan Amanah.

Kata Chin, jika ikut tradisi, pertandingan tiga penjuru lebih memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan akan menang sebahagian besar kerusi Melayu, lantas memenangi PRU14.

“Najib sangat yakin dengan strategi ini dan menyasarkan 140-160 kerusi dalam 222 kerusi Parlimen,” katanya.

Ahli akademik yang berpangakalan di Australia itu berkata, Najib telah menepis skandal 1MDB walaupun pembangkang mengadakan perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” dan cuba mengaitkan perdana menteri dengan pembelian aset mewah seperti hartanah, lukisan dan barang kemas.

Kata Chin, Najib juga menggunakan Bajet 2018 yang disebut sebagai “belanjawan pilihan raya” untuk mensasarkan penyokong setia BN.

“Menjelang akhir tahun ini, politik Najib akan menjadi lebih kuat. Perjanjiannya dengan PAS telah berkesan mengenepikan Dr Mahathir dan PH, serta pengundi Melayu di kampung menganggap dakwaan skandal 1MDB dianggap ‘berita lapuk’,” kata Chin. – 12  Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen