Budaya lompat parti di Sabah


Sheridan Mahavera

Wakil rakyat lompat parti bukanlah satu fenomena baharu di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2020.

WAKIL rakyat lompat parti bukanlah satu fenomena baharu di Sabah, dan inilah yang diutarakan oleh pengundi muda Afiqah Izzati berkenaan isu yang membawa kepada pilihan raya negeri (PRN).

Menerusi video pendek yang dimuat naik di Instagram, Afiqah mempersoalkan apa perlunya rakyat mengundi jika wakil yang dipilih akhirnya akan melompat parti. 

Lebih-lebih lagi, rakyat Sabah harus melalui PRN di tengah pandemik Covid-19 dan sudah tentu membabitkan kos yang besar sedangkan ekonomi negara terjejas teruk akibat wabak itu.

PRN Sabah akan diadakan pada 26 September ini selepas DUN dibubarkan 30 Julai lalu ketika bekas ketua menteri Musa Aman cuba membentuk kerajaan selepas beberapa wakil rakyat penyokong kerajaan Warisan berpaling tadah.

Menurut penganalisis politik budaya wakil rakyat lompat parti atau “katak”  tidak hanya berlaku di Sabah. Di peringkat persekutuan, kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada hujung Februari lalu susulan “Langkah Sheraton”, juga kerana wakil rakyat berpaling tadah.

Lompat parti menjadi amalan biasa dalam mana-mana negara demokrasi, kata penganalisis, namun masalah utama di Malaysia ialah ia berpunca daripada kelemahan dalam sistem dan dasar politik yang tidak adil kepada wakil rakyat pembangkang.

Petugas SPR memakai peralatan perlindungan diri ketika membuat persiapan untuk penamaan calon bagi PRN Sabah di Dewan Shah Bandar Makang, Kuala Penyu, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 13 September, 2020..

Dalam video pendeknya, Afiqah yang berasal dari Libaran, Sabah menyeru rakyat negeri itu mendesak agar sistem agihan peruntukan diubah untuk mencegah amalan lompat parti.

“Peruntukan kawasan untuk wakil kerajaan dan pembangkang seharusnya diberikan sama rata.

“Apabila mereka ditanya, kebanyakan jawapan mereka (Adun) adalah sama, iaitu ‘kalau saya lompat saya akan dapat peruntukan dan kawasan saya akan bertambah maju’” katanya.

Di Sabah dan kebanyakan negeri lain, peruntukan untuk pembinaan jalan raya, jambatan dan lampu jalan akan disalurkan terus kepada Adun dari gabungan atau parti pemerintah.

Khususnya di Sabah, Adun pembangkang tidak akan menerima peruntukan RM1.1 juta, sebaliknya peruntukan itu diberi kepada wakil kerajaan di sesuatu kawasan yang dipanggil penyelaras DUN.

Penganalisis politik Dr Wong Chin Huat turut menyuarakan isu yang sama berhubung kejatuhan kerajaan Warisan Plus.

“Jika keadaan ini berterusan, di mana kuasa wakil rakyat kerajaan tidak terbatas berbanding pembangkang, maka ketidakstabilan politik dan amalan lompat parti ini akan berterusan selepas pilihan raya negeri,” kata Wong dari Sunway University.

“Ada antara ‘katak-katak’ ini cukup popular di peringkat akar umbi dan pengundi tidak peduli pun mereka ini mewakili parti atau logo mana.

“Ini mungkin kerana alasan yang diberi iaitu mereka akan mendapat peruntukan lebih jika berada dalam kerajaan negeri atau persekutuan,” katanya, merujuk kepada wakil rakyat lompat parti.

Penganalisis politik Dr Wong Chin Huat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 13 September, 2020.

Politik tidak stabil

Penganalisis politik dari Sabah Dr Firdausi Abdullah berkata lompat parti dalam kalangan wakil rakyat amalan yang tidak beretika dan memberi masalah.

“Masalahnya ialah apabila mereka lompat parti dan ini membawa kepada perubahan kerajaan,” katanya, sambil menambah ia membawa kepada ketidakstabilan politik sekali gus sukar untuk melaksanakan dasar penting.

Ketidakstabilan ini lebih kerap berlaku di Sabah kerana sejarah panjang hubungan antara parti-parti politik di negeri itu dan Semenanjung sejak awal 80-an hingga 90-an. – 13 September, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen