KKM siasat kaitan Kluster Sungai dan Telaga


Ragananthini Vethasalam

Kluster Telaga dikesan di sebuah klinik kesihatan di Kedah manakala Kluster Sungai bermula di Kedah Medical Centre, sebuah hospital swasta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2020.

SIASATAN sedang dijalankan bagi menentukan sama ada wujud kaitan antara kluster kemudahan kesihatan Telaga dan Sungai, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Kluster Telaga dikesan di sebuah klinik kesihatan di Kedah manakala Kluster Sungai bermula di Kedah Medical Centre, sebuah hospital swasta.

“Setakat sekarang tidak ada data menunjukkan kaitan antara dua kluster ini.

“Bagaimanapun, melihat kepada cara virus tersebar dan memandangkan kadar jangkitan yang tinggi, kami syak mungkin ada kaitan dengan Kluster Tawar dan Sivagangga,” katanya.

Terdapat 79 kes dilaporkan berkaitan dengan Kluster Tawar yang bermula daripada majlis pengebumian di Kedah. Kluster itu sudah merebak rentas negeri ke Pulau Pinang.

Kluster Sivagangga pula yang menjangkiti 45 orang tercetus selepas kes indeks melanggar arahan kuarantin rumah.

Institut Kajian Perubatan (IMR) sedang mengkaji jenis virus Kluster Sungai dan Telaga, kata Dr Noor Hisham.

Sehingga sekarang, 1,585 orang disaring berkaitan Kluster Sungai dengan 83 kes positif dikesan.

Kluster itu dikesan apabila seorang petugas kesihatan positif Covid-19 pada 5 September lepas.

Manakala, 4,626 orang pula disaring untuk Kluster Telaga, 59 daripadanya disahkan positif.

Kluster itu dikesan di Hospital Sultanah Bahiyah melibatkan dua petugas kesihatan yang tidak terlibat dalam sesi rawatan pesakit Covid-19 di hospital itu. – 10 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen