Bekas CEO 1MDB beri keterangan Isnin ini


Najib Razak berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2020.

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman akan mula memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-10 dalam perbicaraan kes rasuah Najib Razak membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB pada Isnin ini.

Mohd Hazem akan memberi keterangannya setelah Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa beberapa bahagian pernyataan saksi itu yang didakwa sebagai “dengar cakap” masih boleh diterima dalam perbicaraan yang sedang berlangsung.

Sequerah berkata beliau akan memutuskan sama ada perenggan yang dikatakan sebagai dengar cakap itu di akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah ini memutuskan bahawa keputusan untuk menentukan sama ada bahagian tertentu merupakan dengar cakap akan ditangguhkan hingga akhir kes,” katanya.

Hakim juga mengatakan bahwa mahkamah tidak dapat menentukan kebolehterimaan pernyataan saksi itu kerana bukti lain akan dikemukakan dalam kes tersebut, yang mungkin menyebabkan perenggan pernyataan tersebut ditolak.

 “Jika saya mengecualikan perenggan itu, pihak pendakwaan mungkin hilang peluang untuk mengemukakan bukti di mahkamah.

“Sekiranya perenggan itu termasuk dalam peraturan dengar cakap, bukti itu akan dikecualikan daripada penemuan mahkamah,” kata hakim sambil menambah bahawa pernyataan saksi Mohd Hazem akan diterima sebagai bukti sepenuhnya pada masa ini.

Mohd Hazem dijadualkan memberi keterangan Isnin lepas.

Bagaimanapun peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan lisan untuk menggugurkan 24 muka surat daripada 118 muka surat pernyataan saksi Mohd Hazem  yang didakwa sebagai dengar cakap.

Muhammad Shafee dalam permohonan itu memetik beberapa perenggan dalam pernyataan saksi Mohd Hazem yang menyatakan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah memberitahu beliau (Mohd Hazem) bahawa dana berdaulat itu dibangunkan bagi mentadbir urusan dana ke dalam Umno.  

Pihak pendakwaan yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram bagaimanapun membantah permohonan itu dan menggesa agar saksi itu membaca pernyataan tersebut secara menyeluruh kerana ia merupakan sebahagian daripada transaksi tersebut.

Mohd Hazem adalah ketua pegawai operasi 1MDB sebelum mengambil alih jawatan CEO pada 25 Mac 2013 dan meletak jawatan pada 2015.

Najib, 67, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung Isnin ini. – Bernama, 10 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen