Guan Eng gesa Zahidi letak jawatan sebagai timbalan menteri


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin didakwa melanggar etika kerja dan profesionalisme berulang kali dengan berkongsi maklumat palsu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2020.

LIM Guan Eng menggesa timbalan menteri, Zahidi Zainul Abidin mengundurkan diri susulan kesilapan tidak wajar, termasuk berkongsi berita palsu dan membuli pelajar dari Sabah, Veveonah Mosibin.

Setiausaha agung DAP itu berkata timbalan menteri komunikasi dan multimedia itu melanggar etika kerja dan profesionalisme berulang kali dengan berkongsi maklumat palsu.

“Zahidi suka memberitahu orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu tetapi beliau sendiri bersalah melakukannya dengan berkongsi maklumat palsu mengenai pelajar Sabah, Veveonah yang berusia 18 tahun.

“Walaupun selepas meminta maaf kerana menuduh Veveonah menipu, beliau terus berkata akan menyiasat lebih lanjut mengenai dakwaan sambungan Internet yang teruk.

“Beliau juga menyalahkan DAP kerana mempolitikkan isu ini tetapi sekarang Kabinet sendiri menyalahkan Zahidi kerana membuat kenyataan tidak tepat,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan.

Lim menambah ketika orang ramai masih marah dengan tindakan Zahidi, timbalan menteri itu terlibat pula dalam masalah baru dengan kenyataan tidak betul mengenai bayaran tambahan untuk pembelian dalam talian.

Pada Selasa, Zahidi berkata kerajaan akan mengenakan caj 20 sen bagi pembelian berharga antara RM200 hingga RM1,000 di platform dalam talian seperti Lazada dan Shopee.

Beliau berkata langkah itu bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi membantu kelompok B40, dan juga untuk meningkatkan infrastruktur telekomunikasi di luar bandar.

Namun, sehari kemudian, kementerian menjelaskan dan memperbetulkan kenyataan timbalan menteri dengan berkata ia tiada niat mengenakan bayaran tambahan.

Ini adalah kali kedua dalam waktu kurang seminggu ketika timbalan menteri dipanggil untuk memberikan keterangan.

Minggu lalu, di Dewan Negara, beliau menuduh Veveonah memalsukan peperiksaan dalam taliannya untuk mendapatkan tontonan saluran video YouTube miliknya. 

Beliau kemudian meminta maaf kepada Veveonah dan berkata menerima “maklumat tidak tepat” mengenai masalah itu.

“Zahidi kehilangan kredibilitinya dan mesti diganti oleh seseorang yang lebih berkemampuan,” kata Lim. – 10 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen