Pakar ekonomi berbeza pendapat ramal kadar OPR


Ragananthini Vethasalam

Pakar ekonomi meramalkan tiada lagi penurunan OPR, memandangkan bank pusat sudah mengurangkan sebanyak 125 mata asas dalam tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2020.

PANDEMIK Covid-19 menyaksikan empat penurunan kadar dasar semalaman (OPR) dalam masa kurang setahun, kepada paras terendah 1.75%, dan masih menjadi persoalan sama ada penurunan seterusnya akan dibuat dengan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Ahli ekonomi berbeza pendapat sama ada terdapat lagi penurunan, memandangkan bank pusat sudah mengurangkan sebanyak 125 mata asas dalam tahun ini sahaja.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi Lee Heng Guie memberitahu The Malaysian Insight beliau tidak menjangkakan penurunan lagi kerana ekonomi menunjukkan beberapa tanda pemulihan, walaupun secara beransur-ansur.

“Saya rasa kita sudah melewati tahap terburuk.”

Menurut beliau, pada tahap ini terdapat faktor sokongan lain untuk membantu ekonomi, seperti program subsidi gaji kerajaan, moratorium bersasar dan penjimatan penyesuaian pembayaran pinjaman kerana pemotongan OPR sebelumnya.

“Perlu diingatkan, kita tidak boleh terus menurunkan kadar seperti dilakukan banyak negara lain sebelum krisis, yang turun kepada negatif atau sifar, seperti di Jepun dan Kesatuan Eropah. Banyak negara belum pulih sepenuhnya.

“Saya harap kita tidak akan sampai ke tahap sehingga sifar, kerana akan ada langkah lain yang boleh dipertimbangkan kerajaan, seperti dari segi fiskal,” katanya.

Lee berkata kerajaan mempunyai penampan pada fiskal dengan peningkatan had siling hutang.

“Paling penting, mereka harus mendapat sektor sasaran yang tepat untuk membelanjakan bajet,” katanya.

Felo Kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Dr Shankaran Nambiar mempunyai pandangan berbeza. Beliau yakin penurunan kadar mungkin dilakukan pada akhir tahun, tetapi tidak semestinya pada bulan ini.

“Berdasarkan jumlah Covid-19, peningkatan kes bukanlah petunjuk positif bagi trajektori pandemik.

“Ini ditambah dengan jumlah eksport pada Julai yang tidak menepati aliran menaik pada Jun. Tidak masuk akal mengharapkan jumlah eksport pulih dengan cepat.

“BNM juga akan berasa tertekan untuk membuat pembayaran pinjaman lebih mudah dan membantu mengekalkan kadar pertumbuhan lebih kukuh.

“Keuntungan bank yang kecil, konservatisme dan keengganan melampaui pemotongan sedia ada mungkin menghalang bank pusat (daripada kadar pemotongan),” kata Shankaran.

AmInvestment Bank Research berkata pada 8 September, satu lagi penurunan kadar mungkin dijangkakan dalam mesyuarat MPC hari ini, menjadikan kadar faedah penanda aras turun kepada 1.50%.

Sebaliknya, Standard Chartered menjangkakan bank pusat mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan mengekalkan kadar OPR, sehingga dapat menilai pemulihan negara pada separuh kedua tahun ini. – 10 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen