Veveonah disahkan ambil peperiksaan pada 12 Jun lalu


Veveonah Mosibin dituduh menipu dalam videonya oleh timbalan menteri Zahidi Zainul Abidin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2020.

VEVEONAH Mosibin mengambil peperiksaan akhir semester secara dalam talian pada bulan Jun, kata bekas menteri Sabah Masidi Manjun, sambil menambah bahawa beliau telah mengesahkan perkara itu dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Adun Karanaan dari Bersatu itu berkata bahawa beliau telah bertemu dengan pengarah yayasan sains UMS hari ini.

“Saya nak maklumkan pengesahan bahawa pelajar Vevenoah Mosibin telah pun menduduki peperiksaan akhir semester (dalam talian) dari 9 Jun hingga 12 Jun.

“Dia adalah pelajar teladan dan telah ditawarkan untuk mengikuti kursus ijazah Sains Marin di UMS,” kata bekas menteri pelancongan, budaya dan alam sekitar Sabah itu hari ini.

Hantaran Twitter Masidi itu dimuat naik selepas dua timbalan menteri persekutuan, Zahidi Zainul Abidin dan Abdul Rahim Bakri, menuduh Veveonah yang berusia 18 tahun itu berbohong berhubung videonya yang menduduki peperiksaan dari puncak pokok bagi mendapatkan capaian internet.

Pengguna aktif platform YouTube itu telah menyiarkan video dirinya berada di atas pokok menduduki peperiksaan pada 12 Jun.

Zahidi minggu lalu memberitahu Dewan Negara bahawa Veveonah hanya melakukannya bagi mendapatkan perhatian dan dia sebenarnya tidak mengambil peperiksaan. Namun Zahidi kemudiannya meminta maaf dan berkata bahawa beliau mendapat maklumat tersebut daripada Abdul Rahim.

Abdul Rahim dalam catatan di Facebook berkata bahawa beliau telah memeriksa dakwaan terhadap Veveonah itu adalah tidak benar setelah bercakap dengan ketua kampung dan ahli fakulti UMS.

Kedua-dua Zahidi dan Abdul Rahim, yang juga ahli Parlimen Kudat dikecam dan digelar sebagai pembuli siber oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Zahidi juga dituntut untuk dirujuk ke jawantankuasa hak dan keistimewaan kerana memberikan maklumat palsu di Dewan Senat. – 8 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen