Rujuk Zahidi ke jawatankuasa Parlimen, kata Chin Tong


Liew Chin Tong mahu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2020.

AHLI Parlimen yang memberikan maklumat palsu mesti dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen, kata Liew Chin Tong.

Senator itu mahu tindakan disiplin diambil terhadap Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin, yang mendakwa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin menipu mengambil peperiksaan di atas pokok kerana tiada akses internet.

“Ahli-ahli pentadbiran yang memberi maklumat palsu di sini perlu ditangani oleh Jawatankuasa Hak seperti timbalan menteri komunikasi dan multimedia harus diberikan amaran dan dikendalikan oleh Jawatankuasa Hak,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.

Zahidi minggu lalu berkata video yang dimuat naik Veveonah bertujuan untuk meraih populariti dan pelajar itu menipu sedang mengambil peperiksaan.

Semalam, beliau menyalahkan Timbalan Menteri Kewangan 1 yang juga Ahli Parlimen Kudat Abdul Rahim Bakri kerana memberi maklumat palsu mengenai Veveonah. 

Rahim berkata Veveonah menipu mengambil peperiksaan di atas pokok pada Jun kerana tiada akses internet, berdasarkan hasil maklumat yang diperolehi pegawainya dari ketua kampung dan seorang dekan fakuliti di UMS.

Kedua-dua timbalan menteri itu mendapat kecaman di media sosial kerana memperlekehkan usaha Veveonah.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Rahim dan Zahidi membuli Veveonah untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan kerajaan Perikatan Nasional dalam pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Sabah.

Lim mengecam tindakan Rahim dan Zahidi yang berterusan menyerang Veveonah tanpa memberikan penjelasan tentang kemajuan pelaksanaan NFCP.

Sementara itu, seorang lagi Senator, Adrian Lasimbang berkata kedua-dua timbalan menteri itu menghina rakyat Sabah kerana masih terus cuba mengecam Veveonah dan tidak mengendahkan isu sebenar tentang sambungan Internet yang lemah di negeri itu.

Lasimbang berkata apa yang dikogsikan Veveonah, 18, dalam videonya memberikan gambaran sebenar masalah capaian internet di pedalaman Sabah. – 8 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen