Memang betul Veveonah menipu, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri kewangan 1 dan Ahli Parlimen Kudat Abdul Rahim Bakri mempertahankan dakwaannya bahawa Veveonah Mosibin tidak mengambil peperiksaan pada Jun. – Gambar Facebook, 7 September, 2020.

AHLI Parlimen Kudat Abdul Rahim Bakri mempertahankan dakwaannya bahawa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin tidak mengambil peperiksaan pada Jun.

Timbalan menteri kewangan 1 itu berkata hasil siasatan pegawainya Ambang Sobul mendapati Veveonah tidak lagi tinggal di Kampung Sepatalang.

Rahim berkata beliau meminta Ambang dari Kampung Bilangau, yang bersebelahan dengan Kampung Sepatalang, menyiasat dakwaan kononnya Veveonah memanjat pokok untuk mendapatkan akses internet bagi menduduki peperiksaan secara dalam talian.

“Seperti  keterangan kedua-dua ketua kampung… ibu bapa pelajar ini sudah terlalu lama tidak tinggal di Kampung Sepatalang kerana bapanya Mosibin Maraun@Makrun adalah bekerja di KPD (Koperasi Pembangunan Daerah) di pekan Pitas .

“Mereka sebenarnya  tinggal menetap di pekan Pitas yang ada khidmat internet. Sebenarnya dia tidak ada rumah di Kampung Sepatalang seperti yang dia (Veveonah) dakwa..oleh itu macam mana pelajar ini boleh mendakwa dia belajar di atas pokok di Kampung Sepatalang sedangkan dia sebenarnya tinggal di pekan Pitas,” kata Rahim menerusi kenyataan di Facebook.

Rahim kemudian memadamkan kenyataan tersebut.

Awal hari ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin menyalahkan Rahim kerana memberi maklumat palsu mengenai Veveonah, yang disebutnya di Dewan Negara minggu lalu.

Menurutnya, Rahim mendapat maklumat itu daripada pensyarah pelajar itu sendiri, dan kerana itu beliau beranggapan maklumat tersebut tidak salah.

“Maklumat itu daripada ahli Parlimen Kudat yang juga timbalan menteri kewangan, yang juga wakil rakyat kawasan itu.

“Kami dimaklumkan Veveonah tiada peperiksaan pada hari itu. Maklumat yang ahli Parlimen itu dapat daripada pensyarahnya yang juga seorang profesor.

“Jadi dalam isu ini, kita pun hendak kepastian, persoalannya ialah kenapa seorang ahli Parlimen hendak berbohong? Kita percayalah maklumat yang diberikan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Rahim dalam kenyataan yang kemudiannya dipadamkan itu mempertahankan apa yang diberitahu kepada Zahidi. 

“Pelajar ini sebenarnya sengaja membuat drama padahal perjalanan cerita dramanya tidak betul dan tidak berasas sengaja ingin mendapatkan perhatian dan publisiti.”

Malah seorang dekan fakulti dan pensyarah UMS juga memaklumkan tiada peperiksaan secara online seperti yang didakwa Veveonah, kata Rahim.

Tambahnya, dekan itu juga berkata hasil tinjauan mendapati tidak sampai 50% pelajar yang boleh mengikuti kuliah secara dalam talian di Sabah.

“Fakulti saya maklumkan bahawa semua pelajar yang tiada akses internet diminta balik ke kampus, dan pelajar pun tahu.

“Ada juga pelajar memilih untuk tinggal di kampus kerana internet di kampung mereka tidak stabil, putus-putus… jadi kami nasihatkan mereka tinggal di kampus atau ke pejabat daerah berdekatan, sekolah atau ke pekan berdekatan.” – 7 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Bagi student sesi Feb-Jul, tiada exam jadi student perlu belajar seminit sebelum exam then wujud lah pelapis negara yang super genius. Yeyy :')

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Slay Er · Ulasan