Saya ulang maklumat wakil rakyat, kata Zahidi


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata maklumat palsu melibatkan pelajar UMS Veveonah Mosibin yang disebutnya di Dewan Negara minggu lalu diperolehi daripada ahli Parlimen Kudat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2020.

TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata maklumat palsu melibatkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin yang disebutnya di Dewan Negara minggu lalu diperolehinya daripada Ahli Parlimen Kudat Abdul Rahim Bakri.

Rahim pula katanya mendapat maklumat itu daripada pensyarah pelajar itu sendiri, dan kerana itu beliau beranggapan maklumat tersebut tidak salah.

“Maklumat itu daripada ahli Parlimen Kudat yang juga timbalan menteri kewangan, yang juga wakil rakyat kawasan itu.

“Kami dimaklumkan Veveonah tiada peperiksaan pada hari itu. Maklumat yang ahli Parlimen itu dapat daripada pensyarahnya yang juga seorang profesor.

“Jadi dalam isu ini, kita pun hendak kepastian, persoalannya ialah kenapa seorang ahli Parlimen hendak berbohong? Kita percayalah maklumat yang diberikan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Zahidi juga berharap isu itu tidak dipolitikkan kerana ia hanya salah faham berdasarkan maklumat yang dianggap betul.

“Saya akan ke UMS Sabah untuk berjumpa dengan pensyarah, kakitangan, dan Veveonah untuk mendapatkan kepastian.

“Kalau maklumat salah, kita minta maaf. Pensyarah tidak patut beri maklumat yang salah.

“Tapai kalau sebaliknya, mungkin ini hanya satu salah faham… jadi isu ini tidak patut dipolitikkan,” katanya.

Zahidi minggu lalu terjerat kontroversi selepas mendakwa kononnya Vevonah yang tinggal di Kampung Sapatilang, Pitas membuat video palsu memanjat pokok untuk mendapatkan perkhidmatan Internet.

Beliau membuat kenyataan itu semasa menjawab soalan tambahan Senator Peter Mojuntin yang bertanya tentang tindakan kerajaan untuk memastikan keseimbangan capaian Internet antara bandar dan luar bandar, khususnya di Sabah.

Susulan jawapannya, Zahidi dikecam secara terbuka pelbagai pihak, termasuk rakan kursus asasi sains Veveonah di UMS yang memuat naik jadual peperiksaan yang menunjukkan tarikh kejadian.

Veveonah juga menulis di Facebook menafikan kenyataan Zahidi yang disifatkannya sebagai palsu.

Zahidi kemudian meminta maaf secara terbuka kepada Veveonah melalui satu hantaran di Facebook.

Veveonah memuat naik rakaman videonya ke YouTube pada 12 Jun lalu dan tular di media sosial. Klip video itu jadi bualan umum mengenai kesukaran pelajar menjalani pembelajaran dalam talian setelah sekolah dan universiti ditutup susulan perintah kawalan pergerakan. – 7 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen