Jangan tangguh kuat kuasa akta perumahan pekerja, kata MTUC


Kediaman pekerja terutama pekerja asing jadi masalah besar ketika Covid-19, mendedahkan ruang persekitaran kehidupan mereka yang teruk serta hak yang tercabul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2020.

PUTRAJAYA perlu menolak rayuan majikan untuk pelanjutan pelaksanaan undang-undang perumahan dan kemudahan pekerja baharu, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata sebab diberikan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) untuk melanjutkan pelaksanaan undang-undang yang sepatutnya berkuatkuasa 1 September adalah cetek dan kesinambungan tindakan majikan menafikan hak pekerja.

“MTUC amat kesal dengan ugutan MEF bahawa para majikan terpaksa membuang pekerja kerana menanggung kos tinggi jika dipaksa mematuhi undang-undang baru mengenai kemudahan perumahan pekerja.

“Ugutan ini adalah taktik kotor majikan untuk memaksa kerajaan memberi keutamaan kepada keuntungan syarikat berbanding tanggungjawab mereka menyediakan kediaman pekerja yang sesuai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan semalam yang majikan memerlukan lebih banyak masa untuk mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 disebabkan wabak Covid-19.

Peraturan baharu undang-undang supaya majikan mematuhi akta itu hanya dikeluarkan pada 28 Ogos, kurang seminggu sebelum ia berkuatkuasa, kata Shamsuddin.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk kerajaan memberi panduan kepada majikan. Mereka tak boleh kenakan tekanan kepada kami dalam tempoh percubaan,” katanya.

Solomon, bagaimanapun, berkata sudah tiba masanya majikan menambah baik persekitaran kehidupan pekerja yang selama ini dipaksa hidup berhimpit dan kotor serta tiada perlindungan perundangan.

“Pekerja migran turut ditindas dari segi kemudahan perumahan. Mereka dipaksa menginap beramai-ramai dalam di tapak kongsi, rumah teres atau pangsapuri yang serba kekurangan dan tanpa perlindungan perundangan yang secukupnya.

“Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990  yang di pinda bertujuan menangani masalah ini,” kata Solomon hari ini.

Disebabkan keperluan kebajikan pekerja yang mendesak ini, Putrajaya tidak boleh tunduk kepada ugutan majikan, kata Solomon.

“Kerajaan tidak harus tunduk kepada ugutan pemberhentian kerja yang disuarakan oleh MEF.

“Sayugia di ingatkan ugutan sama diberi semasa pandemik Covid-19 oleh majikan untuk memperolehi bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Hakikatnya walaupun majikan memperolehi bantuan berbilion ringgit, ratusan ribu pekerja diberhentikan atau dipaksa menerima potongan gaji drastik,” katanya.

Tambah Solomon lagi, pindaan akta dibuat pada Julai 2019 dan majikan sudah diberika lebih 12 bulan untuk mengambil langkah perlu untuk mematuhinya. – 7 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen