Syed Saddiq yakin parti baharunya mampu tarik pengundi luar bandar 


Aminah Farid Ragananthini Vethasalam

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin parti belia baharunya dapat menembusi kawasan luar bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2020.

SYED Saddiq Abdul Rahman yakin parti anak muda baharunya mampu menembusi kawasan luar bandar kerana ramai ahlinya berasal dari latar belakang berpendapatan sederhana dan rendah.

Katanya, kebanyakan yang menyertai parti itu terdiri daripada kelas pekerja sendiri dan pernah melalui pelbagai kesusahan untuk memantapkan diri dalam masyarakat.

Mereka kini bersedia mengambil risiko lebih besar “untuk berkhidmat, mereformasi dan merevolusikan politik, dan seterusnya mengubah sistem politik semasa,” kata bekas menteri muda itu kepada The Malaysian Insight.

“Dan untuk mewujudkan platform yang akan menyentuh hati dan pemikiran semua rakyat Malaysia, terutama golongan kurang mampu di luar bandar,” tambahnya.

“Sebagai contohnya, jika penduduk luar bandar berasa suara mereka tidak diwakili, kita perlu melihat sebabnya,” katanya.

“Oleh itu, kita perlu menghantar mesej yang golongan kelas pekerja yang sudahpun berjaya membuktikan kemampuan mereka dan dengan memberi peluang, ia boleh menjadi perkara paling menakjubkan bagi Malaysia,”  katanya.

Platform politik itu buat masa ini, terdiri daripada profesional muda, aktivis, pengasas syarikat, pendakwah agama, dan akademik.

Pemimpin berusia 27 tahun itu berkata dengan memiliki kuasa perubahan dalam arena politik, ia akan dapat menunjukkan kepada penduduk luar bandar atau orang miskin yang ia bukanlah masalah mengenai dasar, tetapi kesungguhan politik dalam melakukan perkara yang betul.

“Akhirnya, apabila ahli politik akur demi kepentingan syarikat korporat yang kaya, tamak, kumpulan yang sama, dan di mana tiada cukai yang adil di Malaysia, suara mereka lebih kuat, dan akhirnya menyumbang paling banyak kepada parti politik,” katanya.

“Justeru, saya rasa ini akhirnya akan memberitahu mereka ia bukanlah masalah dasar tetapi sebaliknya mengenai kesungguhan politik dan kita perlu mengubahnya. Oleh itu, kita memerlukan kuasa untuk mengubah,” katanya.

Bagaimanapun, Syed Saddiq yakin sebahagian besar rakyat Malaysia bertimbang-rasa dan mengambil berat mengenai isu penting seperti pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan berkualiti dan ketidaksamaan pendapatan.

Beliau berkata isu ini banyak diketengahkan di mana-mana tempat di Malaysia, sama ada di kawasan luar bandar, pinggir bandar, atau bandar.

Kebimbangan ini benar-benar menjadi perhatian golongan pertengahan, katanya.

Syed Saddiq berkata, beberapa anggota parti yang akan segera diumumkan mempunyai kerjaya yang selesa dalam sektor swasta tetapi meninggalkan zon selesa mereka untuk bergabung dengan platform demi Malaysia yang lebih baik.

Beliau percaya dengan mengumpulkan individu daripada pelbagai latar belakang dan bukan hanya ahli politik, gerakan ini dapat mewujudkan lebih ramai golongan berasaskan dasar.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah antara anggota pengasas Bersatu dan ketua Pemuda parti itu sebelum beliau kehilangan keahlian parti kerana menyokong pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2020.

“Kita harus memberi tumpuan kepada golongan pertengahan - sebahagian besar rakyat Malaysia yang tidak bergabung dengan parti politik, atau mereka yang bergabung tetapi bukan penyokong bersungguh-sungguh yang dapat diyakinkan, dan inilah mereka yang berasa ketinggalan, yang berasa suara mereka tidak cukup diwakili, berasa mereka tidak mempunyai tempat dalam Malaysia baru ini,” katanya.

Beliau berkata, masalah seperti perbezaan pendapatan di dalam kelas dan kaum tidak boleh diselesaikan kerana ia sentiasa dilihat melalui platform mono-oetnik.

“Kami tidak mengkaji mendalam hal ini kerana kita hanya melihatnya dari platform mono-etnik tanpa benar-benar mengkaji dari platform dasar,” katanya.

Syed Saddiq adalah menteri belia dan sukan termuda di negara ini di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Beliau juga antara anggota pengasas Bersatu dan ketua Pemuda parti itu sehingga beliau kehilangan keahlian parti kerana menyokong pembangkang.

Walaupun ramai meramalkan beliau bergabung dengan Dr Mahathir Mohamad dalam parti baharu Pejuang, Syed Saddiq memutuskan untuk mencorak jalan politiknya sendiri dengan parti berasaskan anak muda.

Namun, semalam Dr Mahathir tidak yakin rancangan Syed Saddiq membentuk parti berasaskan beliau akan berjaya.

Bekas ketua Bersatu itu berkata di Putrajaya, parti beliau akan sukar memperoleh undi daripada generasi lebih tua, sambil menambah partinya yang baru ditubuhkan, Pejuang, akhirnya akan menjadi “kingmaker” dalam pilihan raya.

“Saya tidak tahu mengapa beliau mahu tubuhkan parti. Saya tidak rasa ia akan berjaya. Undi belia sahaja tak cukup untuk menang.”

“Dalam setiap kawasan pasti ada orang tua, namun ini negara bebas, kalau beliau rasa perlu. Kita tiada masalah selagi mereka juga mahu banteras rasuah.”

“Pejuang tidak terikat dengan mana-mana parti. Dalam pilihan raya, kita mahu dapatkan 30 kerusi dan kita dalam kedudukan untuk memilih parti mana yang boleh kita jalin kerjasama.”

“Sekiranya parti lain boleh terima syarat kita, maka kita boleh bekerjasama,” kata Dr Mahathir. – 5 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen