Syed Saddiq keluar dari bayang Dr Mahathir


The Malaysian Insight

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mengikut Dr Mahathir Mohamad dan lima pemimpin Bersatu yang lain menubuhkan parti Pejuang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2020.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman keluar dari bayang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, untuk menubuhkan parti berasaskan pemuda yang mahu memperjuangkan Malaysia berbilang kaum.

Bekas menteri belia dan sukan itu tidak mengikut Dr Mahathir dan lima pemimpin Bersatu yang lain untuk menubuhkan parti Pejuang, parti yang berasaskan kepada perjuangan Melayu seperti Umno dan Bersatu.

Ahli politik berusia 28 tahun itu yakin sudah sampai masanya mewujudkan parti baharu yang segar serta melangkaui bangsa dan agama, demi Malaysia yang lebih inklusif dalam dasar dan budaya.

“Saya sangat menghormati Dr Mahathir namun demi Malaysia maju ke depan, kita perlu melihat kepelbagaian kaum sebagai aset.

“Ia bukan liabiliti walaupun ada kumpulan yang berfikiran perkauman,” kata Syed Saddiq kepada The Malaysian Insight dalam wawancara baru-baru ini.

Ahli Parlimen Muar itu mengumpulkan kumpulan pemuda seperti Challenger dan Liga Rakyat Demokratik untuk menubuhkan sebuah parti belia, untuk menjadi kekuatan ketiga dalam landskap politik negara.

“Sudah sampai masanya kita membangunkan gerakan yang berasal dari akar umbi. Kita perlu mendapatkan sokongan masyarakat sivil, teknokrat, pemikir, dan orang-orang muda yang mahu berkhidmat untuk negara,” kata bekas ketua Pemuda Bersatu itu.

Syed Saddiq digugurkan keahlian dalam Bersatu bersama Dr Mahathir dan lima yang lain kerana menyokong pembangkang ketika parti yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin itu membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Parti baharu Syed Saddiq akan mempunyai struktur kepemimpinan lateral dan merancang untuk bertanding bukan hanya di kerusi bandar tetapi juga untuk memasuki wilayah separa desa dan luar bandar.

Gerakan yang pada masa ini melabel dirinya sebagai ‘Muda’ membayangkan dirinya bersikap berkecuali tanpa berpihak kepada Pakatan Harapan atau Perikatan.

Entiti yang pada mulanya dirancang menjadi gerakan di seluruh negara namun mendapat sambutan besar untuk menjadi sebuah parti politik telah berkembang berdasarkan sokongan di media sosial dan mereka yang menyokong Syed Saddiq.

Antara individu terkenal lain yang akan menyertai barisan parti ini ialah bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Bhd (PNB) Jalil Rasheed, pengasas TheLorry, Nadhir Ashafiq, pendidik Cheryl Ann Fernando, beberapa individu dari senarai Forbes 30 Asia, selain masyarakat sivil dan juga tokoh agama.

Syed Saddiq turut menambah, beliau percaya pemuda harus mempunyai suara yang lebih besar daripada dipinggirkan oleh sayap pemuda dalam parti politik.

“Orang muda harus berada di barisan depan. Orang muda harus menjadi pembuat keputusan untuk parti. Pemimpin pemuda seharusnya tidak hanya menjadi sayap parti politik tetapi di barisan depan sebagai pembuat keputusan,” katanya.

Namun, beliau menambah bahawa parti ini tidak hanya akan mempertahankan hak orang muda sahaja namun tetap memberi tumpuan kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia.

“Akhirnya, ini akan menjadi bukti tindakan dan kejayaan bahawa apabila anak muda diberi peluang, mereka dapat melakukan sesuatu yang lebih baik untuk Malaysia.

“Apabila saya sebut Malaysia, kita tidak hanya akan memperjuangkan orang muda sahaja bahkan turut memperjuangkan mereka yang sudah tua dan tidak mempunyai pencen dan simpanan ... dan mereka warga emas dan tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti.

“Semua kumpulan dan individu yang terpinggir, akan dipimpin oleh belia Malaysia, bukan parti belia untuk golongan muda sahaja,” kata Syed Saddiq.

Syed Saddiq berkara beliau sedia berdepan segala bentuk risiko dalam usahanya memperjuangkan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.

“Jika sekalipun saya gagal, saya akhirnya berjuang bersama sekumpulan anak muda yang mempunyai cita-cita yang sama. Bagi saya, ini sahaja satu kejayaan besar,” tambahnya. – 31 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen