Teruknya rasis pada Hari Kebangsaan


Zainal Rashid Ahmad

SAYA terperanjat membaca komen-komen perkauman di Facebook Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Isu yang dikaitkan dengan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Pelbagai kenyataan pengikut laman itu jelas menggambarkan nada perkauman yang teruk dan menakutkan.

Saya turut menyemak profil komen-komen yang ekstrem dan sukar dibayangkan bahayakan.

Agak mengejutkan; purata mereka yang memberikan komen-komen berbaur pandangan ekstrem tentang rasis adalah generasi muda.

Begitulah. Isu tetap isu. Malaysia negara yang sukakan isu. Isu yang selama menghidupkan gebang politik dan menjadikan “lalat boleh mengaum mengalahkan harimau”.

Itu cara berpolitik negara ini. Ahli politik menjual isu. Broker politik membakarnya. Rakyat pula berteriak sambil membiarkan perpaduan hangus dibakar api perkauman.

Sangat ironi kerana semua ini berlaku pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-63.

Selain itu rasis SJKC dan UEC, ada satu lagi isu yang menakutkan. Viral kes langgar lari di Lebuhraya Karak petang Hari Merdeka.

Kedua-dua isu ini membakar sentimen perkauman ini meluas di Facebook dan menilainya secara rasional menyebabkan timbul rasa takut.

Saya terkejut kerana sentimen rasis terus mekar tanpa had pada Hari Kebangsaan ketika kita berusaha menerapkan perpaduan kaum dan semangat cintakan tanahair.

UEC dan kritik perkauman tanpa batas

Dr Asyraf memuat naik kenyataan mempertahankan tindakannya menghantar anak belajar ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Walaupun netizen mempersoalkan pendiriannya yang berbeza kerana menentang cadangan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

“Memilih SJKC untuk anak sendiri membuktikan saya bukan seorang yang rasis perkauman.

“Hasrat saya untuk mendedahkan anak saya agar mampu bergaul mesra dengan pelajar berbangsa Cina di SJKC yang masih berpaksikan Sistem Pendidikan Kebangsaan.

“Saya juga mengharapkan anak saya dapat melalui hari-hari persekolahan yang menggembirakan bersama rakan-rakannya dari pelbagai kaum dengan menerapkan perasaan saling memahami, menghormati, menyayangi dan bantu membantu antara satu sama lain dalam dirinya.”

Itu kenyataan Dr Asraf pada malam menyambut hadirnya 31 Ogos. Motifnya saya tidak pasti. Terutama “kecerdikan” Dr Asyraf menjawab isu tersebut dan memuat naik hantaran sensitif dalam mod meraikan merdeka.

Sembilan dalam 10 respons datang dari bangsa Melayu yang menyerang kewujudan SJKC sebagai sistem pendidikan yang menjadi “sumber perkauman”.

Manakala, 10% tindakan protes datang dari Facebooker berbangsa Cina yang bersuara balas mempertahankan rasional SJKC dan UEC.

Debat ini mencetuskan kenyataan-kenyataan yang sangat perkauman.

Saya membaca hampir seluruh komen dan tidak menemukan sebarang manfaat.

Selain padat dengan kebencian perkauman. Sesuatu yang sangat dikesalkan kerana rasis menyala di Facebook milik pemimpin politik yang sepatutnya berkongsi semangat Malaysia pada Hari Kebangsaan.

Insiden langgar lari dan kenyataan perkauman tanpa batas

Pada sekitar 4 petang pada Hari Kemerdekaan, viral video sebuah Toyota Camry berwarna putih melanggar motorsikal di laluan kecemasan Lebuhraya Karak.

Hanya kerana pemandu Toyota Camry melarikan diri - netizen marah dan hilang kawalan perasaan.

Viral perkauman membakar suasana di Facebook apabila identiti pemandu Toyota Camry disebarkan.

Melalui salinan geran kereta, nombor pendaftaran, salinan kad pengenalan hinggalah alamat premis perniagaan yang diviralkan netizen - memaklumkan pelaku adalah Cina.

Keadaan jadi hangat kerana netizen menumpukan kepada mangsa yang dilanggar ialah seorang wanita Melayu.

Kes ini menjadikan Hari Kebangsaan dipenuhi api perkauman. Ia bukan lagi soal langgar lagi. Hantaran Facebooker marak dengan melaungkan isu perkauman.

Selain kata-kata hasutan perkauman, ugutan rasis merebak ke kenyataan menyeru kekerasan dilaksanakan terhadap pemilik kenderaan.

Lebih teruk – majoriti netizen bersetuju: kes akan berakhir tanpa keadilan di mahkamah.

Saya tidak berhajat memuat naik semua seruan rasis, hasutan keganasan dan ancaman keselamatan dari kes-kes ini.

Kekeliruan saya hanya satu: Begitu teruk sentimen perkauman pada Hari Kebangsaan? – 2 September, 2020.

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen