Malaysia tak akan tunduk kepada tuntutan mahu Sabah, kata PM


Malaysia tegas menyatakan tiada kompromi terhadap apa sahaja isu melibatkan kedaulatan negeri itu dan akan mempertahankan Sabah sehingga ke akhir, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 29 Ogos, 2020.

MALAYSIA tidak akan tunduk terhadap mana-mana tuntutan terhadap negeri Sabah, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Malaysia tegas menyatakan tiada kompromi terhadap apa sahaja isu melibatkan kedaulatan negeri itu dan akan mempertahankan Sabah sehingga ke akhir.

“Baru-baru ini ada kenyataan daripada pihak Filipina nak buat peta baharu yang antaranya telah dimasuk dalam passport…saya tak nak cakap panjang, kita tidak akan tunduk dengan tuntutan ini. Sabah kekal dalam Malaysia…Sabah sebahagian daripada Malaysia.

“Jangan ada usaha untuk menarik Sabah keluar dari Malaysia dan jangan ada usaha orang lain daripada Malaysia, menuntut Sabah untuk menjadi sebahagian daripada wilayah mereka.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri Sabah di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaafar dilaporkan sebagai berkata cadangan memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu ke dalam peta pasport Filipina bukan langkah terbaharu atau pendirian rasmi kerajaan negara itu.

Perkara itu merupakan cadangan anggota Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan Filipina untuk mewujudkan rang undang-undang gantian bagi meminda, mengganti atau memansuhkan Akta Pasport Filipina 1996. – Bernama, 29 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen