Nelayan Pulau Pinang tetap tolak pulau buatan


Zaim Ibrahim

Nelayan Pulau Pinang tidak berminat dengan projek tiga pulau buatan di selatan negeri itu kerana ia akan memusnahkan mata pencarian mereka sejak turun temurun. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2020.

TIGA pulau buatan yang akan dibina di selatan Pulau Pinang hanya indah khabar dari rupa, kata nelayan terlibat selepas melihat rekaan dari firma pereka utama projek itu minggu lalu.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, mereka tidak berminat dengan pulau tersebut walau betapa indahnya reka bentuk projek itu nanti, kerana ia memusnahkan mata pencarian mereka turun temurun.

Projek direkabentuk firma Denmark, Bjarke Ingels Group (BIG) itu antara lain menyediakan Masjid Besar Negeri, taman pintar, dan perkampungan nelayan dikenali sebagai “Penang Biodiversity”.

Timbalan Ketua Unit Nelayan Sungai Batu Mohamad Ismail Ahmad berkata, melihat perkembangan projek itu beliau sudah mula risau jika ia akan dimulakan tidak lama lagi.

“Apabila projek itu dimulakan, nelayan di kawasan selatan Pulau Pinang tidak boleh turun ke laut. 

“Kapal pasir, kapal korek dan kapal lain untuk membina projek lain akan mengganggu kami mencari rezeki.

Projek itu juga akan menyebabkan lumpur datang ke sebelah pantai dan menutup lubang-lubang yang menjadi habitat udang. 

“Hidupan laut di situ seperti ikan, ketam, dan udang akan lari atau terus mati,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insight di Jeti Nelayan Sungai Batu.

Timbalan Ketua Unit Nelayan Sungai Batu Mohamad Ismail Ahmad berkata nelayan di selatan Pulau Pinang tidak boleh turun ke laut apabila projek itu dimulakan. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2020.

Beliau yang berusia 60 tahun menjelaskan, nelayan veteran mungkin mampu mengharapkan anak-anak meneruskan kehidupan tetapi bagi nelayan golongan pertengahan, merekalah golongan paling terjejas apabila tidak dapat turun ke laut. 

Tambahnya, kawasan perairan selatan Pulau Pinang dianggap ‘lubuk emas’ bagi nelayan kerana airnya cetek dan mempunyai pelbagai jenis hasil laut.

“Nelayan tak perlu pergi jauh untuk menangkap hasil laut. Yang utama di sini ialah udang besar, sehari dapat hampir 100 kilogram. Harga kita jual lingkungan RM45 sekilo ikut pasaran.

“Pendapatan kita stabil, tetapi dengan pembinaan pulau buatan ia akan memusnahkan ribuan komuniti nelayan disini. 

“Bohonglah kalau sesiapa kata pulau itu tidak akan membawa pencemaran. Sekurang-kurangnya, lumpur akan memenuhi kawasan perairan dan menjadi keras. Akibat daripada itu, kita kena cari tempat lain jauh,” tambahnya.

Seorang lagi nelayan di Sungai Batu, Mahamed Famizam Mahamed Ibrahim, 32, kecewa kerana kerajaan negeri tetap mengumumkan rekaan itu sedangkan nasib nelayan tidak terjamin.

“Pembinaan tiga pulau itu tetap kita tidak setuju, kerana macam mana kami mahu bekerja? Bagaimana dengan masa depan kami?

“Semasa pembinaan Jambatan Pulau Pinang kedua pun, kami diberi pampasan dalam ribuan ringgit sebab ia antara lokasi kami menangkap ikan. Tetapi, bab pampasan projek kami masih tiada khabar berita.

“Saya bukanlah mahu duit semata-mata, tetapi risau dengan makan minum kami,” katanya. 

Pasar Nelayan Teluk Kumbar, yang menjadi pusat jualan hasil tangkapan ikan daripada kumpulan nelayan di kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2020.

Famizam turut yakin, rekaan pulau buatan yang telah dimuat naik di Youtube itu hanya bertujuan mengaburi pandangan mata dunia bahawa projek itu tidak bermasalah.

“Pulau itu dekat dengan pantai kami, mesti ia akan jejaskan mata pencarian dan perairan di sini.

“Dalam seluruh Pulau Pinang, di kawasan ini paling kurang terjejas sebab kurang pembangunan. Jika projek dijalankan, kawasan ini sudah pasti akan terkesan,” tambahnya.

Minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan BIG sebagai pemenang pertandingan mencipta reka bentuk pelan induk Penang South Islands (PSI).

Jelas Chow, pasukan BIG akan menjadi rakan usaha sama dan pihak berkepentingan untuk memuktamadkan pelan induk dan membangunkan garis panduan reka bentuk bandar projek PSI.

Ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar Roslizan Ramli pula mempersoalkan sama ada kerajaan negeri tidak sedar tentang impak pembinaan projek itu. 

Katanya, sejak berpuluh tahun kawasan pantai itu tenang dan pengumuman rekaan pulau itu akan memusnahkan keseluruhan pantai dan punca rezeki nelayan.

“Buat rekaan itu siapa pun boleh buat. Bagi nampak cantik, bagi nampak canggih.

“Tetapi apa impaknya kepada kami? Bagaimana dengan Kampung Nelayan Teluk Kumbar yang sudah mewarisi kampung ini 60 tahun?

“Tengok video itu, bukan kita mampu nak beli pun walaupun ada kampung nelayan. Entahkan pintu sahaja yang mampu dibeli,” soal beliau.

Roslizan mengakui lega apabila berlaku pertukaran kerajaan pada Februari lalu kerana, sebelum ini Umno dan PAS pernah menyuarakan bantahan terhadap projek pulau buatan itu. 

“Dahulu sewaktu menjadi pembangkang, Umno dan PAS antara yang lantang membantah projek pulau buatan.

“Sekarang sudah jadi kerajaan, saya harap mereka boleh cari jalan untuk hentikan terus projek ini berlaku,“katanya.

Ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar Roslizan Ramli mempersoalkan sama ada kerajaan negeri tidak sedar tentang impak pembinaan projek itu. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2020.

Roslizan merupakan nelayan yang aktif membantah projek tersebut dibawah kempen Penang Tolak Tambak.

Sejak beberapa tahun lalu, nelayan di Pulau Pinang bersama kumpulan badan bukan kerajaan mengadakan siri kempen bagi membantah projek berkenaan.

Ketika ditanya tentang program kempen akan datang, Roslizan berkata mungkin akan ada program lain dijalankan selepas pandemik Covid-19 berjaya ditangani. 

Seorang nelayan veteran, Abdul Rashid Yup, 68 tahun berkata, pembinaan tiga pulau itu kira-kira 70km daripada pantai Teluk Kumbar.

Kawasan itu berdekatan dengan kawasan tangkapan udang yang menjadi tumpuan para nelayan, tambahnya. 

“Kawasan perairan ini merupakan tempat membiak ikan dan udang. Lebih-lebih lagi, sekarang musim udang, kawasan ini jadi tumpuan.

“Jika projek itu tetap berjalan bagaimana dengan nelayan-nelayan pantai?

“Nelayan di sini tidak perlu pergi terlalu jauh, sebab hasil laut disini cukup buat kami. Sehari boleh dapat RM80 hingga RM100 pun sudah cukup untuk bagi keluarga makan,” katanya. 

Rashid memberitahu, sekalipun nelayan boleh mencari ikan di kawasan laut dalam sekiranya pulau itu tetap dibina, tetapi ia memberi kesukaran kepada nelayan kerana perlu menambah kos operasi tangkapan yang semakin mahal.

“Kos minyak mahal, sebab kita guna minyak diesel. Kalau nak pergi laut dalam, kena ada lesen lain dan perlu bot lebih besar.

“Daripada video, memang nampak cantik bagi orang luar tetapi bagi kami, ia melibatkan kehidupan ribuan keluarga nelayan,” tambahnya.

Di bawah projek tambakan laut , kerajaan negeri bercadang menebus guna 1,821 hektar kawasan laut, bagi membina 3 pulau buatan.

Ia merentang selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur, sekitar Permatang Damar Laut untuk mewujudkan tanah bagi membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh, di bahagian pulau dan Seberang Perai.  – 29 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen