Nelayan Pulau Pinang terus desak batal tambakan laut


Zaim Ibrahim

Beberapa persatuan nelayan dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak berkumpul di Padang Kota Lama, Pulau Pinang hari ini untuk menyatakan bantahan mereka terhadap projek PSR. – Gambar The Malaysian Insight, 4 November, 2019.

NELAYAN Pulau Pinang meneruskan tekanan agar kerajaan negeri membatalkan projek tambakan laut di selatan pulau tersebut yang akan merosakkan ekosistem dan punca pencarian mereka.

Persatuan Nelayan Pulau Pinang mendesak demikian dalam memorandum 55 perkara yang cuba diserahkan kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam perhimpunan hari ini.

Pengerusi persatuan itu, Nazri Ahmad berkata mereka kecewa kerana niat untuk bersemuka dengan Chow tidak berjaya pada hari ini kerana disekat daripada memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Semasa bantahan kita di Parlimen kita dapat layanan yang lebih baik. Tapi malangnya di DUN di negeri kita sendiri hanya tunggu di tepi pagar.

“Kita tidak dibenarkan masuk untuk bercakap dengan beberapa wakil rakyat bagi menyatakan pandangan dan bantahan kita (terhadap projek PSR),” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, kandungan memorandum itu bukan mahu menolak pembangunan negeri tetapi membantah kerana ia merosakkan ekosistem laut.

Beliau bercakap kepada pemberita di luar pagar Dewan Sri Pinang di Georgetown.

“Isu kami bawa bukan tolak pembangunan tetapi (projek PSR) akan jejaskan kehidupan dan hak nelayan serta ekosistem laut, kemusnahan ini yang kami tentang,” tambah beliau.

Antara isi kandungan memorandum itu adalah menjelaskan kepada kerajaan negeri bagaimana projek PSR akan menjejaskan sumber ikan dan pendapatan nelayan.

Selain itu, memorandum itu juga menyatakan, industri penternakan ikan di Sungai Udang, aktiviti pendaratan penyu, dan keselamatan makanan akan terjejas teruk akibat daripada PSR.

Nazri juga berpendapat, kerajaan negeri bersikap angkuh kerana sehingga kini enggan bersemuka dengan kumpulan nelayan itu.

“Bantahan terhadap PSR kita buat sejak 2015 tetapi sehingga kini tiada maklum balas.

“Sikap kerajaan negeri pada kami angkuh. Tidak layan kami sedangkan kita bukan buat provokasi,” tambahnya yang turut menyifatkan tindakan tersebut menganaktirikan golongan nelayan.

Beliau bersama kira-kira 1,000 orang mewakili kumpulan nelayan dari Utara Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis berkumpul untuk menyuarakan bantahan terhadap projek itu.

Turut menyertai perhimpunan di Padang Kota Lama yang terletak bersebelahan bangunan Dun itu adalah kumpulan mahasiswa, NGO dan aktivis sosial.

Persidangan DUN berlangsung pada hari ini untuk membahaskan Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2020.

Kerajaan negeri menjalankan tambakan laut dalam projek PSR untuk membina tiga pulau buatan seluas 2,600 hektar.

Tanah di kawasan itu dijual untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai RM49 bilion.

Sementara itu, Adun Penaga yang mewakil blok pembangkang, Mohd Yusni Mat Piah berkata akan membawa isu nelayan dalam perbahasan Sidang DUN.

“Isu PSR akan diberi keutamaan dalam sesi perbahasan kali ini, mungkin saya akan bangkitkan Rabu pagi atau tengah hari ketika tiba giliran saya berbahas,” jelasnya. – 4 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen