MOHD Khairuddin Aman Razali tidak akan letak jawatan menteri selepas beliau didakwa melanggar perintah kuarantin wajib setelah pulang dari luar negara, mengikut peraturan kawalan pergerakan membendung pandemik Covid-19.
Katanya, soal letak jawatan tidak timbul kerana beliau bukan buat salah melibatkan soal kerjanya sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.
“Biasalah itu (desakan letak jawatan). Saya tidak buat salah yang membabitkan kerja saya tetapi satu kekhilafan dalam isu SOP (prosedur operasi standard).
“Saya tak mahu buat kenyataan panjang, saya serahkan kepada polis walau saya ada pandangan juga.
“Kementerian Kesihatan juga sudah keluarkan kenyataan dan bagi saya, ia selesa,” katanya, seperti dipetik oleh media di Tanjung Malim.
Khairuddin juga dipetik berkata desakan supaya beliau letak jawatan tidak menjejaskan tumpuannya bekerja.
Ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu ditemui ketika berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Slim, yang pengundiannya akan berjalan esok.
Jelas Khairuddin atas kesilapannya tidak mematuhi perintah kuarantin berkenaan, beliau sudah meminta maaf dan memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri.
Gaji antara Mei hingga Ogos itu disumbangkannya ke Tabung Bantuan Bencana Negara bagi Covid-19.
Semalam Khairuddin diambil keterangannya oleh polis di Bukit Aman.
Beliau mengesahkan memberi keterangan selama dua jam, bersama tiga ahli keluarga yang bersamanya ke Turki termasuk isterinya.
Khairuddin juga menjelaskan beliau hanya sekali diambil keterangan oleh polis, dan bukannya dua kali, seperti dilaporkan sesetengah media.
“Dalam dua jam saya berikan keterangan yang patut sebagai saksi terhadap isu yang dibangkitkan. Itu saja.. bakinya tunggulah apa dia daripada pihak polis dan AG (Peguam Negara)... terpulanglah,” katanya.
Tindakan Khairuddin melanggar kuarantin wajib itu mendapat perhatian umum dan diulas oleh Kementerian Kesihatan hanya selepas bekas menteri portfolio yang sama Teresa Kok membangkitkannya di Dewan Rakyat pada 18 Ogos.
Kementerian Kesihatan kemudian mengesahkan Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi kuarantin wajib yang dikenakan ke atas semua pihak yang masuk ke Malaysia, termasuk warga negara yang pulang.
Bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun melihat gaji empat bulan itu tidak boleh menutup kesalahan Khairuddin.
Khairuddin pulang dari lawatannya ke Turki pada 7 Julai. Menurut Kementerian Kesihatan beliau dikenakan kompaun pada 7 Ogos.
Kenyataan Kementerian Kesihatan itu bagaimanapun menambah kontroversi kerana pada 19 Ogos, sehari selepas pendedahan Kok, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes itu sedang disiasat.
Dr Noor Hisham juga kemudian berkata pihak atasan Kementerian Kesihatan tidak dimaklumkan mengenai kes Khairuddin. Mereka hanya menerima laporan penuh kejadian pada 24 Ogos, katanya.
Pemimpin PAS sepanjang ini mempertahankan Khairuddin dengan alasan beliau tidak mendatangkan bahaya menularkan Covid-19 walaupun tidak menjalani kuarantin. – 28 Ogos, 2020.
Komen