Ada apa dengan M Nasir?


Meor Yusof Aziddin

SIAPA tidak kenal M Nasir?

Bagi anak-anak muda di sekitar tahun 80-an, kita bermula dengan kumpulan Kembara yang muncul dengan album pertama berjudul “Hati Emas” yang terbit pada 1981. Saya waktu itu baru berumur 14 tahun dan bersekolah di Bruas, Perak.

Sebelum itu kita kenal Sweet Charity yang muncul lebih awal, juga penyanyi folk Indonesia, Ebiet G Ade yang muncul hujung tahun 70-an.

Sweet Charity kita kenal sebagai rock band. Kembara? Saya yang sebelumnya didedahkan dengan muzik folk barat Bob Dylan, Beatles, U2, Cat Stevens, Al Stewart, Pink Floyd dan sebagainya merasakan kumpulan Kembara ini termasuk dalam kategori muzik kesukaan saya.

Dan hampir keseluruhan lagu dalam album perdana mereka tidak ada unsur lagu cinta bodoh tentang lelaki dan perempuan. Yang ada, “Hati Emas”, “Ekspress Rakyat”, “Hidup Cara Sendiri”, “Senandung Buruh Kasar”,  antaranya.

Kembara yang muncul dalam bentuk trio, M Nasir, A Ali dan S Shahlan adalah fenomena bagi anak muda pada tahun 80-an, sebab sebelum itu tidak ada satu band pun yang kita kata ada “soul” dan “rugged”.

Imej mereka yang marhaen dengan baju kota, seluar jeans dan kasut Fung Keong menjadi ikutan anak muda waktu itu. Sehingga sekarang saya masih mendengar lagu-lagu Kembara dan mampu menyanyikan hampir kesemua lagu dalam empat album terawal mereka sewaktu masih bergelar grup trio seperti lagu “Kawan”, “Jalan Sehala”, “Lindungilah Kami” dan “Musim”, antaranya.

Jika lagu yang berbentuk kemanusiaan, kehidupan dan Tuhan yang disampaikan dalam bahasa yang matang, dan sampai pula mesejnya ke dalam jiwa masyarakat, itu adalah satu kejayaan. Dan mereka berjaya kekal dalam imej dan identiti yang tersendiri sehingga beberapa musim.

M Nasir adalah Kembara dan Kembara adalah M Nasir. Inilah kenyataannya.

Apabila M Nasir membawa haluan hidup dengan menjadi penyanyi solo dan komposer yang buat duit dengan sederetan lagu-lagu popular, pun kita masih mengikuti perkembangannya.

Dari album “S.O.L.O” (1989) sampailah ke “Phoenix Bangkit”, M Nasir masih yang terbaik. Lagu-lagunya pula semakin ke dalam maknanya, tidak lagi bercerita tentang “Ekspress Rakyat” melainkan tentang diri dan Tuhan dalam kefahaman hakikat yang nyata pada hidup itu sendiri.

Kita tidak memperkatakan tentang album pertamanya “Sang Pencipta” yang diterbitkan pada 1979 sebelum muncul Kembara lagi kerana, itu hanya tempoh percubaan dalam mencari identiti dan jati diri sebagai seorang artis.

Klimaks kerjaya albumnya yang paling berjaya, “Canggung Mendonan” (1993) dan satu Malaysia waktu itu kenal siapa M Nasir. Kalau kumpulan U2, album yang terbaik, “Joshua Tree” (1987) dan kalau M Nasir, “Canggung Mendonan”.

Kesan “Canggung Mendonan” waktu itu sangat hebat bagi anak-anak muda yang sedang mencari diri. Mereka merasakan lagu “Tanya Sama Itu Hud-Hud” untuk mereka dalam bentuk pemahaman yang hanya mereka yang tahu.

“Tanya Sama Itu Hud-Hud” liriknya diambil daripada cerita Fariduddin Attar, “Musyawarah Burung”. Berbagai kefahaman lagu ini bila dibedah para bijak pandai yang faham syariat juga tarekat.

Sehingga faham mereka itu hanyalah berlegar di sekitar tasik, tanpa mencapai maksud di dasarnya. Sebab, untuk sampai ke dasar, kita perlu menyelam dan itu tidak mampu mereka lakukan.

Persoalannya, masih relevankah M Nasir untuk anak muda di zaman ini?

Anak-anak kita bila ditanya siapa M Nasir mereka hanya endah tak endah.

Pada zaman anak-anak kita yang celik komputer, di mana muzik M Nasir hari ini? Atau karyanya hanya berlegar di kalangan band-band rock dan penyanyi solo yang masih berminat menyanyikan lagu-lagu beliau?

Untuk itu, melalui Kelab Sahabat M Nasir (SMN), akan diadakan program bual bicara tentang idea dan kreativiti masa lalu beliau sehinggalah ke zaman ini.

Program bual bicara yang berbentuk ilmiah ini khabarnya mendapat sambutan yang baik di kalangan peminat beliau walau dikenakan bayaran.

Pada program ini juga, M Nasir akan membuat persembahan khas, sesi autograf juga cenderamata disediakan untuk para peminat yang hadir pada hari itu.

Untuk mereka yang berminat, hadirlah dan berikan sokongan kepada Kelab SMN ini yang memerlukan dana untuk kelab ini terus aktif dan hidup. – 10 Disember, 2017.

* Program “40 Tahun M Nasir – Kembara ke Solo” akan diadakan pada 3 petang, Sabtu, 16 Disember 2017, di Mini Auditorium Matic, Kuala Lumpur.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen