Pihak atasan tidak diberitahu menteri ingkar kuarantin, kata Noor Hisham


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM sedang menjalankan siasatan dalaman mengenai menteri ingkar kuarantin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2020.

PEGAWAI atasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya tahu menteri Khairuddin Aman Razali melanggar perintah kuarantin minggu lalu, ketika media melaporkan perkara itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Siasatan dalaman segera dilancarkan, katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

“Kami tidak tahu. Bukannya kementerian. Kami baru tahu minggu lalu apabila perkara ini dibangkitkan oleh media.

“Kami kemudian memulakan siasatan kerana ketua pengarah, timbalan ketua pengarah dan ketua jabatan penyakit berjangkit tidak diberitahu.

“Jadi kami mengarahkan agar siasatan dalaman dilakukan,” katanya.

Noor Hisham diminta menjelaskan waktu pengumuman kementerian pada 22 Ogos yang kompaun RM1,000 sudah dibayar oleh Khairuddin, menteri perladangan, industri, dan komoditi, yang melanggar arahan kuarantin selepas kembali dari Turki pada 7 Julai.

Ahli Parlimen Kuala Nerus dan ahli politik PAS itu kemudiannya menghadiri beberapa majlis di kawasannya dan juga sidang Parlimen.

Bagaimanapun, masa pengumuman kementerian mengenai pembayaran kompaun menjadi perhatian kerana kemudian dinyatakan yang Khairuddin sudah membayar denda pada 7 Ogos.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Khairuddin.

Katanya, kerajaan memandang serius kes tersebut dan tiada sesiapapun terlepas daripada undang-undang, katanya merujuk perintah kuarantin itu yang dikuatkuasa untuk membendung penularan Covid-19.

Sehari sebelum itu, pihak polis mengumumkan kertas siasatan sudah dibuka terhadap Khairuddin.

Tarikh Khairuddin membayar kompaun itu juga menimbulkan persoalan ketika pihak berkuasa lain mengetahui pelanggaran arahan kuarantinnya, kerana perkara itu hanya diketahui ketika penyandangnya, Teresa Kok, mendedahkan perkara itu di Parlimen pada 18 Ogos. – 25 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen