Malaysia penuhi 3 syarat untuk BN tumbang, kata Tian Chua


Naib Presiden PKR Chua Tian Chang berkata ini masa paling tepat untuk rakyat Malaysia bertindak melakukan perubahan dalam kerajaan menerusi PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2017.

KINI masa yang paling tepat untuk melakukan perubahan dalam kerajaan persekutuan kerana pengundi Malaysia tidak gembira, pembangkang lebih bersatu padu sementara kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) lemah, kata Naib Presiden PKR Chua Tian Chang.

Selain pertandingan tiga penjuru yang akan memberi keuntungan kepada BN, tiga perkara berkenaan berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata ahli Parlimen Batu yang lebih dikenali sebagai Tian Chua itu.

Beliau bercakap kepada The Malaysian Insight mengenai minat yang semakin merosot dan pengundi sudah muak dengan politik, selepas dua PRU pada 2008 dan 2013 di mana harapan amat tinggi bahawa Malaysia akan mengalami perubahan dalam kerajaan.

Walaupun pembangkang menafikan kemenangan majoriti dua pertiga yang selama ini dipegang BN dalam kedua-dua PRU itu dan berjaya menawan lima kerajaan negeri pada 2008, gabungan yang memerintah Malaysia sejak kemerdekaan itu sekali lagi membentuk kerajaan pada 2013 dengan hanya menang 47% undi popular, berbanding pembangkang (52%).

Sementara Chua optimis mengenai perubahan, beliau mengakui PH ada kekangan iaitu termasuk ketidakmampuannya untuk “membincangkan isu besar” dan menangani “kekecewaan akar umbi”.

Katanya, masih ada isu yang PH belum menjawab secukupnya seperti pendiriannya berhubung “mengimbangi Islam dan sekularisme”.

Dalam temu bualnya, Chua juga menyentuh tentang kekecewaan dirasai oleh sesetengah pengundi dan aktivis berkenaan kerjasama pembangkang dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang memenjarakan beberapa pemimpin PH, termasuk ketua umum PKR Anwar Ibrahim, ketika beliau masih memegang jawatan dalam kerajaan.

Masih ramai menyalahkan negarawan berusia 92 tahun itu kerana menghakis sistem institusi negara, kerana mencipta budaya politik sokongan dan rasuah serta menekan kebebasan tertentu.

Dr Mahathir kini pengerusi PH dan Bersatu, parti yang ditubuhkan selepas keluar Umno susulan perbezaan pendapat dengan Perdana Menteri Najib Razak berhubung caranya mengurus negara dan skandal 1Malaysia Development Berhad.

Berikut sedutan daripada temu bual itu:

TMI: Apa komen saudara tentang ada yang kata langkah parti pembangkang untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir hanya kerjasama untuk merampas kuasa?

Chua: Pendirian PH mengenai hal ini sangat konsisten.Kita bercakap tentang sistem dua parti, bukan fasal kepimpinan moral. Sebenarnya, ini pun tidak tepat; sistem dua parti bermakna sebelah pihak baik dan satu lagi jahat.

Bila kami bercakap tentang sistem dua parti, maksud kami ialah persaingan politik.

Jika tidak ada Anwar, maka Pakatan Rakyat pada masa itu (bekas gabungan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS) tidak akan dapat menarik pengundi Melayu. Sama juga, jika kita tidak ada Dr Mahathir hari ini, maka tidak mungkin kita dapat capai penjawat awam.

Pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional sebagai parti pemerintah.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2017.

Pada akhirnya, PRU adalah permainan politik untuk melihat siapa dapat undi majoriti, dan mereka yang dapat majoriti akan membentuk kerajaan.

Siapa yang akan jadi ketua kami selepas PRU? Saya tidak fikir Dr Mahathir boleh menguruskannya sendirian. Jadi semua cakap-cakap tentang Dr Mahathir salah guna kuasa selepas PRU, saya rasa, ia tidak perlu dibimbangkan.

Itu normal untuk rakyat pertikai niat Dr Mahathir selepas dia keluar Umno dan sertai PH. Ia sama seperit Anwar, yang mengasaskan PKR, tetapi pada masa lalu, dia ditentang oleh Cina dan kumpulan pendidikan Cina.

Setiap ahli politik yang meninggalkan kerajaan atau parti pemerintah terpaksa melalui laluan seperti ini, dan mereka perlu ada kebijaksanaan dan keberanian untuk berdepan kritikan seperti itu daripada pengundi.

TMI: Selepas PRU 2008 dan 2013, ramai yang sudah tidak minat lagi tentang mengubah kerajaan seperti dulu. Setuju atau tidak dengan penilaian itu?

Chua: Saya fikir ia sebenarnya sebaliknya. Saya rasa ramai orang sudah pasti yang mereka akan lihat perubahan dalam kerajaan pada PRU akan datang. Jadi ramai daripada mereka sudah pun mengalih fokus mereka, contohnya mereka mahu tahu siapa nak jadi perdana menteri dan timbalan.

Siapa akan jadi menteri dalam negeri? Rakyat di Malaysia timur mungkin mahu tahu berapa ramai menteri dan timbalan menteri dari dua negeri itu akan dapat dilantik.

Di setiap negara, untuk sesebuah kerajaan bertukar, tiga syarat perlu dipenuhi. Satu, rakyat tidak berpuas hati. Dua, pembangkang bersatu. Tiga, parti pemerintah berpecah. Pada masa ini, situasi politik di Malaysia memenuhi tiga syarat itu.

Bagaimanapun, PH juga berdepan tiga sekatan utama. Anwar dalam penjara, pembangkang tidak bersedia bincang isu besar dan ada kekecewaan di peringkat akar umbi. Jika Anwar tidak dipenjara, PH akan jadi lebih bersatu; pada masa ini PKR terpaksa mengisi kekosongan Anwar menerusi kepimpinan bersama.

Dalam bercakap tentang mengubah kerajaan, rakyat juga membentangkan beberapa isu kepada kami. Mereka mahu tahu pendirian kami tentang isu itu, tetapi kami belum bersedia bagaimana untuk menjawab soalan ini.

Contohnya tentang rang undang-undang persendirian RUU 355 yang dibawa PAS (untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 bagi memperkasa hukuman syariah).

Bagaimana kami hendak imbangkan Islamisasi dan sekularisme? Apa pendirian kami? Kami tidak bersedia untuk menjawab soalan ini; itu kelemahan kami.

TMI: Sebelum ini saudara pernah kata jika pembangkang gagal menang PRU14, maka PH akan terlepas peluang untuk membentuk kerajaan persekutuan. Kenapa?

Chua: Itu betul. Kami sangat yakin tentang mengubah kerajaan, tetapi PH masih perlu menyelesaikan agihan kerusi.

Berbanding pada 2008 dan 2013, kami lebih yakin yang kami dapat tawan Putrajaya. Kali ini kami berharap dapat lebih sokongan penjawat awam.

TMI: Adakah saudara fikir “tsunami Melayu” akan berlaku?

Chua: Sebenarnya akan berlaku peralihan undi, tetapi saya tidak akan kata itu sebagai tsunami Melayu.

Jika kita fikir tentang 2013, ketika 90% pengundi Cina menyokong pembangkang, (tsunami) seperti ini tidak akan berulang sendiri.

TMI: Dengan PAS tidak lagi bersama pembangkang, pertandingan tiga penjuru nampaknya akan berlaku di beberapa kawasan. Apa pendapat saudara? Siapa paling untung dalam keadaan itu? Adakah saudara setuju pertandingan tiga penjuru tidak akan menjejaskan PAS atau DAP dengan teruk, tetapi adakah ia bakal menjejaskan parti lain?

Chua: Betul. Untuk PAS dan DAP, itu bukan isu besar. Bersatu dan PKR akan terjejas. Jadi DAP tidak begitu risau tentangnya.

Tetapi pertandingan tiga penjuru mungkin membantu BN menang besar. Jika BN menang majoriti besar, maka masalah ekonomi dalam negara ini akan jadi lebih teruk. Oleh itu, kita tidak boleh perjudikan masa depan negara dalam PRU ini.

TMI: Sejauh mana PH yakin dalam PRU akan datang?

Chua: Ada peluang yang baik untuk menang, atau sekurang-kurangnya mempunyai “Parlimen tergantung” iaitu tiada parti politik mempunyai majoriti mutlak; atau ia akan beri kemenangan besar pada BN.

Ini kerana jika ada banyak pertandingan tiga penjuru, ia akan beri BN menang besar. Kita mungkin terpaksa kembali ke tapak permulaan jika BN dapat kembali majoriti dua pertiga di Parlimen. Mereka mungkin ambil peluang itu untuk pinda perlembagaan dan mengukuhkan kuasa supaya pada masa depan, dapat mengelak kedudukan rapuh seperti di mana mereka berada sekarang. – 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • BN berpecah belah? bukan PH ke?Tian Chua ko ni aku rasa perasan je yg PH ni bagus sgt..sebelum ko serang BN,perhatikan parti dalam PH tu.Bersatu yg tidak bersatu,pkr yg kononnya kuat,Amanah yg sokongan nya suam2 kuku dan DAP yg hanya tumpu pada org cina sahaja.CEC pun masih tk selesai. dan PH pun masih tak berdaftar... bila pilih BN negara lagi teruk?pilih PH negara lagi hancur,hancur kerana tiada kesepakatan dalam pendapat.kerana pasal RUU 355 pun PR samapai hancur,apa lg pasal hak org melayu,hak ekonomi org melayu..Tian Chua,tak salah nak bermimpi tp jangan sampai berjalan masa tidur,bahaya..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Zaifulhairy Osman · Ulasan