Muzium, galeri seni di New York dibuka semula 24 Ogos depan


Muzium Seni Metropolitan yang terkenal di New York biasanya menyambut tujuh juta pengunjung setahun turut mengumumkan bahawa ia akan dibuka semula pada 29 Ogos depan. – Gambar AFP, 15 Ogos, 2020.

MUZIUM, galeri seni dan institusi kebudayaan New York akan dibenarkan dibuka semula mulai 24 Ogos, kata gabenornya, Andrew Cuomo pada hari Jumaat selepas ditutup selama lima bulan berikutan pandemik Covid-19.

Namun, pemakaian topeng muka tetap diwajibkan, selain tiket masuk berjadual dengan kadar pelawat 25 peratus dalam satu-satu masa, katanya.

Pembukaan semula itu tidak termasuk tempat seni pertunjukan, yang masih akan ditutup sehingga akhir tahun ini.

Muzium Seni Metropolitan yang terkenal di New York biasanya menyambut tujuh juta pengunjung setahun turut mengumumkan bahawa ia akan dibuka semula pada 29 Ogos depan.

“Setelah hampir enam bulan, pembukaan kembali The Met akan menjadi detik bersejarah bagi muzium dan bandar ini,” kata presiden muzium itu, Daniel Weiss dalam satu kenyataan.

“Sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini yang penuh ketidakpastian, pengasingan dan kesedihan, kami merindukan hari di mana kami dapat menyambut semua orang mengunjungi The Met, di mana semua orang boleh merasai keselesaan, inspirasi, dan rasa berkomuniti,” katanya lagi. – AFP, 15 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen