Trafik penumpang MAHB naik 3 kali ganda pada Julai 


TRAFIK penumpang di lapangan-lapangan terbang Malaysia meningkat lebih tiga kali lipat kepada 1.3 juta orang dengan pergerakan pesawat naik dua kali ganda kepada 22,600 pada Julai 2020, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). 

Operator lapangan terbang itu mengaitkan prestasi tersebut dengan penerbangan domestik oleh rakyat Malaysia selepas kerajaan mula menghidupkan kembali pelancongan domestik, selain daripada, sentimen dan keyakinan orang ramai yang lebih baik dalam penggunaan pengangkutan udara bagi perjalanan tempatan. 

“Peningkatan trafik ini juga merupakan tanda keyakinan oleh kedua-dua syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa untuk meningkatkan perkhidmatan penerbangan, terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL),” kata MAHB dalam satu kenyataan.

Sejumlah 27 syarikat penerbangan sedang mengoperasikan penerbangan antarabangsa ke 30 bandar di 20 negara dengan 14 syarikat penerbangan ini membuat sekurang-kurangnya satu penerbangan mingguan bagi memenuhi permintaan untuk penghantaran balik, yang turut merangkumi transit untuk penerbangan yang disambungkan di KUL. 

Sehingga kini, operasi dan laluan aktif ini telah diterjemahkan kepada kira-kira 149 frekuensi penerbangan mingguan di KUL. 

Terdapat juga penambahan dalam kapasiti kargo yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan, sehingga mengakibatkan trafik pesawat yang lebih tinggi.

“Selain daripada 20 syarikat pengangkut kargo yang beroperasi di Malaysia, menghantar kargo yang mengandungi barangan dari negara asal ke negara ini dan sebaliknya, mereka juga telah mengubah beberapa pergerakan pesawat penumpang kepada penerbangan kargo,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, kadar pemulihan yang sangat positif ini telah mengukuhkan keyakinan bahawa industri pelancongan udara akan kembali ke tahap normal secara beransur-ansur. 

Selain daripada operasi penerbangan sedia ada di KUL sekarang, beliau berkata lebih daripada 30 syarikat penerbangan asing yang lain turut memberi petunjuk bahawa mereka akan menyambung operasi, sebaik sahaja sempadan dibuka semula sepenuhnya.

“Malahan Turkish Airlines pada 18 Julai lepas, telah menyambung operasi di KUL dengan pesawat terbaharu mereka, B787-9 Dreamliner,” katanya. 

Sementara itu, operasi MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW), Turki juga mencatatkan peningkatan bilangan, dengan trafik penumpang dan pergerakan pesawat melonjak dua kali ganda, masing-masing kepada 1.2 juta dan 9,300.

Sejumlah empat syarikat penerbangan antarabangsa telah meneruskan operasi mereka di SAW dari Maghribi, Doha, Rusia serta Kuwait, dan ini telah menyebabkan jumlah pergerakan trafik penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbang yang berada di bawah MAHB melepasi dua juta orang buat kali pertama sejak pengenaan sekatan perjalanan. – Bernama, 11 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen