Saya tak akan termakan helah Najib, kata Guan Eng


Lim Guan Eng berkata beliau tidak akan mengikut kehendak Najib Razak yang memintanya menjawab 10 soalan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2020.

LIM Guan Eng hari ini berkata beliau tidak akan mengikut kehendak Najib Razak yang memintanya menjawab 10 soalan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

“Ini cubaan jahatnya untuk memerangkapnya saya menghina mahkamah. Saya tidak akan termakan perangkapnya untuk menjawab 10 soalan yang mungkin subjudis, kecuali untuk mengatakan bahawa projek terowong dan jalan raya itu dianugerahkan melalui tender terbuka, bukan oleh saya,” kata bekas menteri kewangan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Najib memberitahu Malaysiakini Lim perlu menjawab “10 soalan mudah” untuk menjawab kecurigaan rakyat mengenai projek terowong bawah laut berkenaan.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata keputusan mengenai penganugerahan projek dibuat oleh Lembaga Perolehan Tender Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai kanan kerajaan.

Lim juga berkata dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya tidak berasas kerana agensi antirasuah itu tidak menemui wang rasuah atau membuktikannya wujud semasa beliau disoal siasat.

“Najib tidak ditahan dalam lokap SPRM, boleh bercakap sesuka hati walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan beliau bersalah dengan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta dalam kes penyelewengan SRC International.

“Bagaimanapun, saya tidak mendapat layanan istimewa seperti Najib, maka saya akan buktikan saya tidak bersalah di mahkamah nanti.”

Tambah beiau, Najib tidak perlu bermalam di lokap SPRM walaupun dua kali ditahan, menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu tidak campur tangan dalam siasatan rasuah.

Setiausaha agung DAP yang pernah ditahan selama 18 bulan di Pusat Tahanan Kamunting bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987, dan 18 bulan pada 1998 di Penjara Kajang berkata, berbanding Najib beliau lebih tahu bagaimana keadaan di penjara atau lokap.

“Mungkin Najib ingat lokap SPRM macam bilik hotel kerana beliau tidak pernah tidur dalam lokap.

“Najib mengaku tidak ditahan di lokap SPRM pada 20 September 2018, sebaliknya di dalam bangunan SPRM.

“Di mana sebenarnya beliau ditempatkan ketika bermalam di dalam bangunan? Kenyataannya pada September 2018 tidak pun disanggah atau dibetulkan oleh Ketua Pesuruhjaya Azam Baki atau SPRM,” jelas Lim.

Beliau turut menggesa Azam menjawab pertanyaannya secara profesional, bukan mencabarnya supaya membuat laporan polis atau menyaman SPRM jika tidak dilayan dengan baik semasa ditahan.

“Dalam catatan Facebook saya, saya tidak keluar kenyataan mengenai layanan pegawai SPRM semasa dalam tahanan dari 6 hingga 7 Ogos.

“Saya hanya bertanya mengapa menteri kewangan sebelum ini tidak menerima layanan seperti saya, ditahan di lokap, tidur beralaskan papan tanpa tilam dan bantal serta memakai kemeja lokap berwarna oren.” – 11 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen