Saya hidup dengan pendapatan halal, kata isteri Guan Eng


Saya seorang peguam yang selama 26 tahun membela hak mereka yang dituduh, sekarang hak saya pula dilanggar, kata Betty Chew. – Gambar Facebook, 10 Ogos, 2020.

MENJELANG pendakwaannya di mahkamah esok, Betty Chew menerusi coretan Facebooknya hari ini berkata, beliau menjalani kehidupan biasa dengan pendapatan halal dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti haram.

Isteri bekas menteri kewangan Lim Guan Eng itu akan didakwa esok di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) di Mahkamah Sesyen Butterworth.

“Saya seorang peguam, ibu dan yang paling penting, isteri kepada suami terhebat Lim Guan Eng. Kehidupan saya biasa sahaja dengan pendapatan halal dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti haram,” tulisnya.

Tambah Chew lagi, beliau akan terus melawan sebarang tuduhan tidak berasas kepadanya dan akan menuntut keadilan di mahkamah.

“Saya belajar undang-undang untuk tegakkan keadilan, dan sebagai peguam selama 26 tahun, saya telah bela ramai orang di mahkamah, memastikan hak mereka dilindungi. Tetapi hari ini, hak saya sendiri dilanggar, didakwa cepat sekali, hanya empat hari selepas keterangan saya diambil,” katanya.

Peguam Chew, Lee Khai berkata beliau akan didakwa kerana penglibatannya dalam Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd.

Chew pada mulanya menyangka beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berkaitan kes suaminya.

“Keesokan harinya, ditemani anak lelaki dan adik ipar saya pergi ke pejabat SPRM, saya dimaklumkan yang saya akan ditahan dan mungkin didakwa di bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram (Amla). Saya terkejut.”

Bekas Adun Kota Laksamana itu juga menyifatkan proses tersebut sebagai memenatkan melibatkan pengambilan cap jari, memberi keterangan dan gambar diambil daripada pelbagai sudut.

“Rasa pening, saya sekarang secara rasminya adalah tertuduh pengubahan wang haram. Sepanjang proses itu, saya bergelut untuk memahami penahanan saya. Saya cuba ingat, apa yang saya buat sampai mereka boleh tahan saya di bawah akta itu?

“Adakah ia berkait dengan upah perundingan yang saya terima untuk kerja dan perkhidmatan yang dianggap sebagai rundingan perundangan? Saya marah dan keliru. Mengapa upah perundangan saya sebagai peguam dipersoalkan?”

Tambahnya, beliau juga percaya suaminya tidak bersalah.

Chew berkata Lim adalah pejuang korupsi dan beliau hanya memberikan kasih sayang kepada keluarga bukan kemewahan.

“Percaya kepada Tuhan, kami akan terus melawan perkara ini dengan jayanya bersama-sama. Kesusahan akan menguatkan cinta kami,” kata Chew.

Suami Chew dan ayah mertuanya, Lim Kit Siang, sudah mengeluarkan kenyataan membelanya dan mendesak pertuduhan ke atasnya digugurkan.

Pada Jumaat lepas, Lim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta suapan berkaitan projek pembangunan Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion dan minta dibicarakan. Beliau diberi ikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Hari ini pula di Mahkamah Sesyen Butterworth, Lim juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. – 10 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen