Kit Siang desak pertuduhan terhadap menantu digugurkan


Lim Kit Siang berkata menantunya, Betty Chew merupakan seorang wanita yang memiliki integriti dan pertuduhan terhadap wanita itu digugurkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2020.

LIM Kit Siang hari ini mendesak kerajaan untuk menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap menantunya Betty Chew.

Beliau berkata bahawa pihak berkuasa mesti menjaga maruah keluarga ahli politik yang tidak bersalah.

“Janganlah kita hancurkan keluarga Guan Eng dan menyasarkan ahli keluarganya bagi mencapai sasaran utama. Tindakan menyasarkan isteri Guan Eng atau anak-anaknya mesti dihentikan.

“Penganiayaan dan diskriminasi terhadap penentang politik mesti dihindarkan, tetapi mesti ada kesopanan dan kehormatan dalam kehidupan bernegara dengan tidak melibatkan anggota keluarga yang tidak bersalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bahawa dia mengenali Chew selama tiga dekad dan seorang wanita yang memiliki integriti, di samping turut menambah bahawa pihak berkuasa tidak akan menemui barang kemas, barang mewah atau wang tunai di rumahnya seperti keadaan sewaktu mereka menyerbu kediaman Rosmah Mansor.

“Jadi, mengapa ada usaha untuk memperlihatkan Betty Chew sebagai Rosmah Mansor kedua di Malaysia?

“Dengan ini saya buat rayuan terbuka kepada Perdana Menteri Muhyddin Yassin, Peguam Negara, Idris Harun dan SPRM untuk menjaga kesopanan dan kehormatan dalam kehidupan bermasyarakat dan menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap menantu perempuan saya, Betty Chew,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Kit Siang berkata beliau terkejut ketika Chew, yang merupakan isteri kepada anaknya Guan Eng, ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Chew akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada hari Selasa di bawah Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pembiayaan Keganasan (Amla).

Beliau berkata bahawa Chew bukan “penjenayah terkenal di Pulau Pinang yang terlibat dengan jenayah yang biasanya berkaitan pengubahan wang haram seperti perdagangan dadah, pendanaan keganasan dan rasuah yang berleluasa”.

“Satu-satunya kesalahan beliau adalah menjadi isteri dan ibu yang penyayang dan setia kepada empat anak yang hebat.

“Saya bangga dengan menantu perempuan saya sebagai peguam dan bekas Adun di Melaka sebelum beliau bersara.

“Saya lebih bangga kerana di sebalik tekanan kerja, beliau menjaga Guan Eng dan membesarkan empat cucu saya.”

Kit Siang juga berkata bahawa beliau tidak terkejut dengan penahanan dan pendakwaan Guan Eng, kerana tindakan tersebut dilakukan demi mematahkan semangat politiknya.

Semalam, Guan Eng didakwa meminta suapan 10% daripada keuntungan projek lebuh raya dan terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Beliau juga bakal menghadapi pertuduhan lain pada hari Isnin dan Selasa. – 8 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen